29 JULAI: Lebih 82,555 usahawan baharu mendaftar di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sehingga 19 Julai lalu, sekali gus membuktikan kepentingan dalam pengembangan perniagaan ketika menghadapi wabak Covid-19.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, manakala sebaliknya hanya 4,542 buah syarikat yang melakukan permohonan penamatan perniagaan dari 1 April hingga 19 Julai lalu.
Menurut beliau, ini membuktikan sentimen perniagaan dalam kalangan syarikat Malaysia bertambah dengan baik.
“Jumlah perniagaan baharu didaftarkan jauh lebih melebihi penutupan perniagaan iaitu 95 peratus bagi tempoh yang dimaksudkan itu. Pada bulan April sebanyak 278 buah syarikat tutup manakala daftar baharu sebanyak 1,854, pada Mei 156 ditutup dan 10,936 dibuka baharu.
“Bagi bulan Julai sebanyak 1,595 ditutup dan dibuka baharu 39,931 buah syarikat dan yang terakhir pada bulan Julai 1,107 ditutup dan yang dibuka sebanyak 29,834 buah syarikat,” katanya dalam sesi soal jawab Sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Parlimen PH Cheras, Tan Kok Wai yang meminta kerajaan menyatakan jumlah perniagaan yang telah menggulung operasi mereka di bulan April sehingga Julai serta jumlah perniagaan baharu yang didaftarkan di dalam tempoh sama.
Sementara itu, menjawab soalan Ahli Parlimen BN Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan yang menyatakan jika syarikat baharu itu kebanyakannya beroperasi sebagai syarikat e dagang, Rosol tidak menafikan perkara tersebut.
“Apabila pendaftaran meningkat April hingga Julai kebanyakan mereka melalui edagang dan berniaga secara online kerana ketika tempoh itu adalah PKP, kedai-kedai fizikal tidak dapat beroperasi.
“Jadi, edagang online menjadi rebutan atau dipraktikkan oleh rakyat di negara kita ini,” katanya.