29 JULAI: Keyakinan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendorong Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim mengambil keputusan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 3 Jun lalu.
Bekas Ketua Pemuda Parti Amanah itu juga memilih Bersatu kerana parti itu berada dalam gabungan kerjasama parti-parti Melayu dan Islam dalam Perikatan Nasional (PN).
“Ya, saya sudah menyertai Bersatu pada 3 Jun lalu dengan mendaftar sebagai ahli biasa seumur hidup. Saya memilih untuk berada dalam Bersatu atas kepentingan gabungan kerjasama parti-parti Melayu Islam.
“Saya melihat kesungguhan Tan Sri Muhyiddin membawa budaya politik baharu yang menekankan akauntabiliti dan khidmat terus kepada rakyat tanpa ada jurang pemisah,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian, hari ini.
Beliau berkata, borang penyertaan diserahkan secara rasmi kepada Muhyiddin di bangunan Parlimen hari ini.
Hasnul Zulkarnain memberitahu, keputusan menyertai Bersatu agak lewat dibuat kerana tidak mahu dianggap mahukan jawatan dalam kerajaan selain berdepan tekanan-tekanan politik.
Menurut beliau, secara keseluruhan penerimaan rakyat di kawasan Titi Serong amat baik dan akan terus memberikan penerangan dari semasa ke semasa tentang tindakan tersebut.
“Selepas ini, saya akan fokus membantu parti memberi penerangan terhadap apa yang berlaku di dalam parti terutamanya kem-kem yang wujud di antara Tan Sri Muhyiddin dan Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Ahli-ahli akan diberikan penerangan tentang apa yang berlaku supaya mereka tidak keliru,” jelasnya.
Bekas Exco kerajaan neger Perak itu mendaftar sebagai ahli Bersatu di Cawangan Kampung Kedah, Parlimen Parit Buntar.
Pada 9 Mac lalu, Hasnul Zulkarnain bersama dua ADUN DAP mengumumkan keluar parti menjadi wakil rakyat bebas selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang di Perak berikutan pembentukan Perikatan Nasional (PN).
Bersatu kini mempunyai lima wakil di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak iaitu Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang merupakan ADUN Chenderiang; ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin; ADUN Tualang Sekah, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi; ADUN Kuala Kurau, Datuk Abdul Yunus Jamhari dan terbaharu, Hasnul Zulkarnain.