30 JULAI: Wisma Putra akan memanggil Duta Filipina ke Malaysia, Charles C Jose untuk memberi penjelasan berhubung kenyataan kontroversi Setiausaha Luar Filipina Teodoro Locsin Jr mengenai Sabah pada Isnin ini.
Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Hussein menerusi Twitter rasminya membidas kenyataan Teodoro tidak bertanggungjawab dan boleh menjejaskan hubungan dua hala antara dua negara.
“Ini kenyataan tidak bertanggungjawab yang boleh menjejaskan hubungan dua hala.
“Wisma Putra akan panggil Duta Filipina (Charles C Jose) untuk jelaskan perkara ini pada Isnin. Sabah tetap sebahagian daripada Malaysia sampai bila-bila,” katanya dalam ciapan itu.
Sebelum ini, Teodoro menerusi Twitternya membuat satu hantaran kontroversi mengatakan Sabah bukan sebahagian daripada Malaysia.
“Sabah is not in Malaysia if you want to have anything to do with the Philippines (Sabah bukan sebahagian daripada Malaysia jika anda ingin berurusan dengan Filipina),” ciapnya.
Kenyataan itu sebagai maklum balasnya terhadap ciapan Twitter Kedutaan Amerika Syarikat di Filipina mengenai sumbangan 500 kit kebersihan diri kepada rakyat Filipina yang dihantar pulang oleh Sabah dan tiba di Zamboanga City dan Bongao di Tawi Tawi.