30 JULAI: Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan rasa kagum atas pengorbanan yang dilakukan rakyat dalam mematuhi arahan kerajaan sepanjang negara berdepan detik sukar mengekang penularan wabak COVID-19.
Menurut Perdana Menteri, walaupun ada yang ingkar tetapi jumlah yang berbuat demikian adalah kecil berbanding mereka yang patuh dengan arahan tersebut.
Katanya, kecekalan petugas barisan hadapan berdepan krisis kesihatan awam itu dan pengorbanan rakyat yang patuh kepada arahan kerajaan seperti duduk di rumah telah menyumbang kepada kejayaan menangani wabak tersebut.
“Kerajaan juga secara telus berkongsi angka-angka terkini mengenai COVID-19 setiap hari dan langkah ini mengukuhkan keyakinan rakyat untuk berkorban mematuhi setiap arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa.
“Alhamdulillah, hasilnya banyak negara maju lain turut memuji keupayaan kita dalam menangani pandemik itu apabila muncul sebagai antara negara yang mencatat angka kematian terendah.
“Kejayaan hasil pengorbanan setiap lapisan rakyat itu mendapat pengiktirafan dunia. Ia sesuatu yang seharusnya kita banggakan dan bersama pertahankan,” katanya menerusi akaun Facebook miliknya hari ini.
Dalam hantaran itu, Muhyiddin memaklumkan perkara antara yang disentuh beliau ketika berucap ringkas pada majlis penyerahan 106 lembu korban untuk diagihkan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir dan Parlimen Pagoh sempena sambutan Hari Raya Aidiladha esok.
Menurut Muhyiddin, program sumbangan lembu yang diadakan di Masjid Jamek Al-Husna, Kampung Parit Zing dan Pagoh Jaya itu merupakan sebahagian daripada tradisi yang telah beliau laksanakan sejak sekian lama.
“Selain ibadah yang amat dituntut oleh Islam, saya berharap ibadah korban ini juga dapat menjadi landasan dalam mengeratkan hubungan silaturahim dan semangat bantu membantu dalam kalangan masyarakat,” katanya.