30 JULAI: Tidak seperti mana beberapa hari lalu, kes baharu COVID-19 kembali mencatatkan satu angka apabila lapan kes dilaporkan setakat tengah hari tadi.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, daripada jumlah itu, lima adalah jangkitan tempatan dengan kesemuanya dikesan melibatkan saringan di hospital sama ada sebelum pembedahan atau rujukan.
Kata beliau, tiga daripadanya dilaporkan di Sabah melibatkan dua saringan di Hospital Queen Elizabeth dan satu lagi kes di Hospital Tawau.
Menurutnya, Kuala Lumpur dan Johor masing-masing mencatatkan satu kes.
“Tiga kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan dua warganegara Malaysia dan satu bukan warganegara yang dibenarkan masuk ke Malaysia.
“Tiga kes import tersebut adalah dari negara Kazakhstan; Indonesia dan Filipina,” Katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.
Menurut Dr Noor Hisham, pertambahan kes positif itu menyaksikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di negara ini telah mencecah 8,964.
Selain itu, katanya, Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) mencatat lima kes pulih sepenuh dan dibenarkan keluar wad, sekali gus menjadikan jumlah kumulatifnya 8,617, setakat ini.
Beliau berkata, tiada kematian akibat COVID-19 dicatatkan, hari ini, dengan jumlah kumulatifnya kekal 124 kes.
“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 223 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya.