1 OGOS: Siasatan akan dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sabah yang ditawarkan wang dan jawatan sebagai imbuhan jika mereka lompat parti.
Pengarah SPRM Sabah, S Karunanithy berkata, pihaknya telah menghubungi mereka yang terlibat baru-baru ini.
Walau bagaimanapun, beliau memberitahu, ADUN berkenaan enggan membuat laporan rasmi kepada SPRM dengan alasan tiada transaksi rasuah berlaku ketika ini.
“SPRM Sabah akan terus menjalankan siasatan dan bersedia menerima aduan serta maklumat berkaitan daripada mana-mana pihak yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam sidang media kelmarin mendakwa berlaku kegiatan ‘membeli’ ADUN di negeri berkenaan.