1 OGOS: Sebanyak sembilan kes baharu positif COVID-19 dikesan hari ini berbanding 12 semalam.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tujuh daripadanya adalah kes import dan dua lagi penularan tempatan.
Katanya, pertambahan kes baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kini 8,985 kes dengan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 213 kes.
Kes import itu melibatkan lima warganegara dan dua bukan warganegara, manakala kes penularan tempatan pula masing-masing seorang warga tempatan dan warga asing.
“Perincian kes penularan dalam negara membabitkan warganegara adalah di negeri Kedah. Kes itu daripada Kluster PUI Sivagangga.
“Bagi kes bukan warganegara pula adalah di negeri Selangor dan kes itu daripada Kluster Bukit Tiram,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pertambahan kes kluster Bukit Tiram itu melibatkan kes pertama rentas negeri memandangkan kes baru dikesan di Selangor.