2 OGOS: Parti Pribumi Bersatu Sabah (Bersatu) berhak melakukan perancangan mereka sendiri untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sebelum memulakan perbincangan lanjut dengan pimpinan Pusat dan sekutu dalam Perikatan Nasional (PN).
Ketua Bahagian Bersatu Titiwangsa, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, partinya menjunjung demokrasi dan sentiasa menghormati hak bersuara serta meraikan perbezaan pandangan di samping sayap parti menghormati autonomi Sabah dan peranan yang dimainkan oleh Bersatu negeri itu.
“Adalah terlalu awal untuk mana-mana pihak memberikan komen, terutamanya jika ia hanya mengeruhkan keadaan. Sebagai orang Melayu, kita utamakan setiakawan.
“Jangan bawa cara politik lama Semenanjung ke Sabah. Belajarlah daripada keangkuhan DAP yang membawa kepada kejatuhan kerajaan terdahulu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai kenyataan Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan supaya Bersatu Sabah berunding terlebih dahulu dengan UMNO mengenai kerusi yang akan ditandingi dalam PRN sebelum membuat pengumuman.
Terdahulu, Shahril dilaporkan mendakwa UMNO mempunyai cita-cita berlandaskan kekuatan parti dalam menjayakan agenda rakyat Sabah, namun ia disulami kebijaksanaan dengan menghormati proses perundingan.
Wan Ahmad Fayhsal yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan menambah, Bersatu merupakan sebuah parti yang menjunjung demokrasi dan sentiasa hormati hak bersuara sesiapa sahaja dan raikan perbezaan pandangan.
“Para penggerak Armada khususnya di Sabah akan terus menyokong apa juga keputusan pucuk pimpinan dan menggerakkan jentera anak muda demi kemenangan Bersatu dan kejayaan kerajaan di bawah pimpinan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH