2 OGOS: Setiap parti dalam Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) perlu berunding bagi memastikan setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah diwakili oleh parti yang terkuat.
Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa berkata, langkah itu perlu dilakukan bagi memastikan hanya pertembungan satu lawan satu berlaku untuk menewaskan Parti Warisan Sabah (Warisan).
“Namun kalau mau straight fight (satu lawan satu) melawan Warisan, tentu kena berunding dan pastikan parti yang lebih kuat kita beri laluan untuk bertanding,” katanya melalui ciapan Twitter miliknya, malam tadi.
Khamis lalu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, mengumumkan pembubaran DUN Sabah Khamis lalu bagi memberi laluan PRN yang akan diadakan dalam tempoh 60 hari.
Situasi politik di Sabah yang panas sejak kebelakangan ini memuncak apabila bekas ketua menteri, Tan Sri Musa Aman, mendakwa memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu.
Annuar yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berpandangan, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berhak bertanding di mana-mana kerusi yang mereka mahu.
“Bersatu boleh bertanding seberapa banyak kerusi yang mereka mahu. Itu hak mereka. Cubalah…,” jelasnya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH