Mesti pakai pelitup muka masuk McDonald’s
2 OGOS: Ekoran peningkatan kes wabak COVID-19 di seluruh Amerika Syarikat (AS), semua pelanggan restoran McDonald’s di negara itu bakal wajib pakai pelitup muka mulai semalam.
Tindakan drastik itu diumumkan minggu lalu seiring dengan langkah banyak premis komersial termasuk Walmart, Target, Kohl’s, Panera dan Starbucks juga buat peraturan ketat yang sama.
Sejak cawangan pertama beroperasi pada 15 Mei 1940 di San Bernadino, California, terdapat 14,146 buah restoran McDonald’s di AS daripada keseluruhan 35,000 cawangannya di seluruh dunia.
McDonald’s menerusi satu kenyataan berkata, sekitar 82 peratus daripada premisnya di AS terletak di kawasan yang memang mewajibkan pemakaian pelitup untuk pekerja dan pelanggan.
“Namun adalah penting untuk kami dapat melindungi keselamatan dan kesihatan semua petugas dan pelanggan,” menurut Presiden McDonald’s AS, Joe Erlinger melalui kenyataan tersebut lagi.
Beliau menambah, jika ada pelanggan berkeras enggan memakai pelitup, pihaknya bersedia melakukan prosedur tambahan untuk kendali mereka dalam cara yang lebih lembut tetapi cepat.
Erlinger berkata, pihaknya juga menangguhkan pembukaan semula restoran untuk pelanggan dapat menikmati hidangan di dalam premis tersebut selama 30 hari lagi bagi mengelakkan ramai pelanggan berkumpul.
Selain itu, McDonald’s turut menambah panel perlindungan di kaunter premis yang sedia ada bagi bantu pelanggan menjaga penjarakan sosial dengan kakitangan dan tiada transaksi tunai bagi setiap pembelian.
Operator rangkaian makanan segera terbesar dunia berusia 80 tahun itu juga menggalakkan pelanggan supaya buat tempahan secara dalam talian untuk penghantaran dibuat terus ke rumah mereka.
Minggu lalu, McDonald’s di seluruh England sudah mewajibkan setiap pelanggan memakai pelitup sejajar arahan baharu kerajaan Britain untuk memutuskan rantaian wabak maut COVID-19.