3 OGOS: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menyekat akses kepada 2,484 laman sesawang lucah dan berunsur pornografi dari 2018 hingga 2020.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, SKMM juga sudah membuka 125 kertas siasatan dan mendakwa lima individu kerana terbabit dengan penyebaran kandungan lucah, sejak 2018 hingga Jun lalu.
Berikutan itu, beliau memberitahu, SKMM juga akan terus melakukan pemantauan dan bersedia menyekat akses ke mana-mana laman sesawang atau platform media sosial lain termasuk Facebook, Instagram dan sebagainya jika didapati memaparkan kandungan berunsur lucah dan pornografi.
Zahidi yang juga Ahli Parlimen BN Padang Besar menambah, SKMM juga menggalakkan ibu bapa menggunakan perisian dan aplikasi sedemikian kerana adalah salah satu mekanisma bagi menapis kandungan untuk menjamin kemudahan internet digunakan secara berhemah dan selamat oleh anak-anak masing-masing.
“Kita juga menggalakkan ibu bapa supaya memuat naik aplikasi dan perisian kawalan kendiri seperti ‘Parental Control Tool’ bagi membantu ibu bapa memantau dan menyaring kandungan di akses oleh keluarga terutama anak-anak mereka bagi mengelakkan penularan kandungan tidak diingini banyak perisian dan aplikasi sudah diperkenalkan sama ada secara percuma atau berbayar.
“Malah, ketika ini terdapat berjuta aplikasi dan perisian digunakan ibu bapa di seluruh dunia untuk memantau dan menyekat kanak-kanak daripada mengakses capaian berunsur lucah, bahan pornografi dan tidak baik,” katanya dalam sesi soal jawab lisan sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan lisan Ahli Parlimen PAS Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz tentang sejauh mana usaha yang telah diambil bagi mengekang sebarang aktiviti laman sosial yang mempromosi kelakuan songsang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) serta budaya pornografi.
Zahidi berkata, pihak yang terlibat menyiarkan kandungan berunsur lucah juga tertakluk di bawah undang-undang lain seperti Kanun Keseksaan dan enakmen syariah negeri jika mereka beragama Islam.
“Kandungan berunsurkan lucah memang menjadi kesalahan dalam media sosial seperti Facebook, Instagram, penstriman sebagai contoh YouTube,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa, SKMM sedia memadam mana-mana kandungan yang mengandungi unsur lucah dan tidak baik jika mendapat laporan daripada orang awam.
Walau bagaimanapun, Zahidi mengakui bahawa SKMM berdepan kekangan untuk memadamkan kandungan laman sesawang lucah sekiranya ia menggunakan protokol internet (IP) di luar negara. – Oleh HAIKA KHAZI