3 OGOS: Kenyataan Ahli Parlimen PH Shah Alam, Khalid Abdul Samad menyamakan konsep ketuanan Melayu dengan zionisme, nazisme dan ketuanan kulit putih dikhuatiri boleh mencetuskan ketegangan kaum dan tanggapan negatif terhadap orang Melayu.
Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari berkata, orang Melayu cuma memperjuangkan hak istimewa yang telah dipersetujui oleh semua kaum sebelum merdeka.
Walau bagaimanapun, jelas beliau Khalid menganggap orang Melayu yang berbuat demikian mengamalkan fahaman sesat.
“Bagaimana pula dengan bangsa lain memperjuangkan ekonomi, budaya dan sejarah mereka? Tidak pula Khalid bising.
“Mengapa apabila orang Melayu menuntut janji-janji yang telah dipersetujui dikatakan fahaman sesat?” katanya dalam hantaran melalui Facebook.
Azhari turut mengingatkan Khalid bahawa orang Melayu tidak menghalang agama lain mengamalkan agama mereka malah rumah ibadat mereka merata-rata ada di Malaysia.
Selain itu, beliau memberitahu, orang Melayu tidak pernah memboikot perniagaan bangsa lain walaupun bangsa lain memilih pekerja berdasarkan bahasa mereka sehingga menjadikan ramai di antara mereka kaya-raya sehingga sekarang.
Malah katanya, sekolah aliran Cina dan Tamil dibenarkan untuk dibuka dan turut menerima bantuan daripada kerajaan.
“Jika ketuanan Melayu ini sama seperti zionisme, nazisme dan ketuanan kulit putih, sudah pasti bangsa lain tidak dapat hidup aman dan hidup kaya raya di Malaysia ini. Setuju?” katanya.
Azhari juga menganggap ciapan Khalid dalam Twitter adalah sangat merepek dan berunsur menghasut bangsa lain supaya memberi gambaran negatif terhadap orang Melayu. – Oleh HUSSAINI AMRAN