4 OGOS: Ahli keluarga anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, yang meninggal dunia selepas cedera parah dalam insiden rusuhan kuil di Selangor pada 2018 menerima sumbangan lebih RM450,000 daripada kerajaan dan derma orang awam.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM102,000 adalah sumbangan orang awam, manakala selebihnya adalah pampasan dari skim di bawah perkhimatan bomba, manfaat takaful dan sebagainya.
Ahli Parlimen Ampang itu juga menjelaskan bahawa kementeriannya memang komited untuk memastikan Adib dan keluarganya mendapat keadilan dan pembelaan sewajarnya.
Malah, beliau sendiri pernah dipanggil untuk memberi keterangan kepada Timbalan Ketua Polis Negara mengenai mengenai punca dan bagaimana Adib meninggal dunia.
“Dalam taklimat diberikan kepada, saya beliau memberikan taklimat yang mudah dengan mengatakan Adib meninggal kerana kemalangan.
“Bagaimanapun, saya tidak setuju dengan mengatakan selagi tiada bukti, ada orang lihat dan nampak, maka saya tidak setuju. Malam itu juga saya menelefon Menteri Dalam Negeri untuk mengadakan satu mesyuarat pada malam sama sebelum mereka mengeluarkan sebarang kenyataan.
“Menteri Dalam Negeri ketika itu iaitu Perdana Menteri sekarang memanggil semua pihak termasuk pakar forensik, polis dan bomba, termasuk Ketua Polis Negara dan timbalannya ketika itu,” katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong berkaitan kementeriannya dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Berikutan itu, Zuraida berkata, kerajaan memutuskan untuk mewujudkan satu inkues bagi menyiasat punca sebenar kes kematian Adib.