5 OGOS: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap agar proses keadilan berhubung kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim dilakukan dengan segera.
Menurut beliau, cadangan kerajaan kepada Jabatan Peguam Negara untuk mengadakan inkues baharu di bawah Seksyen 339 (2) Kanun Tatacara Jenayah dianggap membuang masa dengan melengah-lengahkan proses keadilan terhadap Muhammad Adib dan keluarganya.
Ahmad Zahid turut menyifatkan cadangan kerajaan untuk menuduh 12 orang suspek di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan yang merusuh dan menyerang jentera bomba seolah-olah menidakkan keputusan yang telah dibuat oleh Mahkamah Koroner Shah Alam pada 27 September tahun lalu yang memutuskan bahawa punca kematian Muhammad Adib adalah disebabkan dari perbuatan jenayah membabitkan dua atau lebih individu yang tak dikenali
“Seksyen 143 Kanun Keseksaan adalah hukuman bagi mereka yang terlibat dalam sesuatu perhimpunan yang menyalahi undang-undang, di mana pesalah hanya dihukum penjara tidak lebih enam bulan atau denda atau keduanya sekali. Ini tidak setimpal dengan nyawa seorang penjawat awam yang telah dibunuh.
“Sewajibnya, pendakwaan yang patut dikenakan kepada mereka yang terlibat adalah kesalahan yang berkaitan dengan jenayah membunuh sebagaimana yang diperuntukkan dalam Bab 16 Kanun Keseksaan dan bukannya kesalahan perhimpunan haram,” katanya dalam satu kenyataan melalui Facebook, hari ini.
Beliau berpandangan, kesalahan yang telah dilakukan adalah suatu jenayah yang amat serius terhadap seorang penjawat awam yang sedang menjalankan tugas.
“Marilah kita berdoa agar roh Allahyarham Muhammad Adib ditempatkan dalam kalangan golongan beriman dan beramal soleh. Amin,” katanya.
Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong dalam sidang Dewan Rakyat menyatakan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengemukakan tiga cadangan kepada Jabatan Peguam Negara bagi menyelesaikan kes kematian Muhammad Adib yang meninggal dunia pada 17 Disember 2018, selepas mengalami kecederaan parah dalam insiden rusuhan kuil.
Menurut beliau, antara cadangan dikemukakan PDRM adalah dengan mendakwa 12 suspek yang sebelum ini disyaki terbabit dalam kematian Muhammad Adib mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan.
Hamzah menambah, cadangan kedua adalah kerajaan membuka semula inkues untuk siasatan kes kematian Muhammad Adib sekiranya mendapat persetujuan Jabatan Peguam Negara berdasarkan peruntukan di bawah Seksyen 339(2) Kanun Tatacara Jenayah.
Allahyarham Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018.
Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara (IJN).
Pada 27 September 2019, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu tidak diketahui. – Oleh HUSSAINI AMRAN