5 OGOS: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sudah membentangkan kertas cadangan khas kepada Kementerian Kewangan (MOF) bagi memastikan pembangunan industri sukan yang lebih menyeluruh, pada masa depan.
Berikutan itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, mengesahkan beliau sudah mengadakan perbincangan dengan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 27 Mei lalu bagi merealisasikan usaha terbabit
Reezal berkata dalam pertemuan berkenaan beliau meminta MOF mempertimbangkan mewujudkan skim kemudahan pinjaman kewangan yang lebih fleksibel atau mengenakan kadar faedah yang lebih rendah kepada pengusaha industri sukan.
“Pengecualian cukai pendapatan untuk pengusaha dan syarikat perniagaan dalam industri sukan bagi 2020 – tahun ini yang amat terjejas perniagaan mereka dan juga tahun pemulihan pada tahun depan.
“Pelepasan cukai individu untuk perbelanjaan isi rumah ke atas pembelian barangan sukan, belanja aktiviti sukan dan perkhidmatan latihan sukan.
“Pewujudan dana khas untuk tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk mempelopori lebih lagi inisiatif dalam bidang teknologi dan inovasi sukan selain perubatan dan sains sukan,” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan titah diraja bagi pihak KBS di Dewan Rakyat, hari ini.
Mengulas lanjut, Reezal berkata KBS juga memohon kerajaan meneruskan peruntukan di bawah Duti Eksais Minuman Bergula (Sugar Tax) untuk Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).
“Akhir sekali, satu dasar percukaian yang baharu ‘tax hypothecation’ yang saya sebutkan sebelum ini. KBS akan terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Kewangan untuk membentuk rangka inisiatif pembangunan industri sukan yang lebih menyeluruh bagi Belanjawan 2021 nanti,” katanya.