5 OGOS: Ahli Parlimen PH Shah Alam, Khalid Abdul Samad meninggalkan sidang Dewan Rakyat kira-kira lima minit lebih awal daripada waktu rehat yang dijadualkan hari ini selepas bertikam lidah dengan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.
Namun, tidak pasti sama ada beliau berbuat demikian kerana ‘panas telinga’ ditempelak oleh Annuar yang menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong bagi kementeriannya.
Terdahulu, Khalid ketika mencelah penggulungan Annuar mempersoalkan perancangan kerajaan Perikatan Nasional (PN) bagi melestarikan pembangunan Labuan dan Putrajaya.
Khalid seolah-olah tidak berpuas hati apabila Annuar mengumumkan pelbagai peruntukan bagi membangunkan perkampungan al-Quran di Putrajaya dan meningkatkan taraf Labuan bagi menjadikan dua wilayah ini bukan sahaja dikenali oleh rakyat Malaysia, malah di seluruh dunia.
Annuar sebaliknya mencadangkan agar Khalid memperbanyakkan beristighfar dan berharap beliau tidak membangkang perancangan yang baik oleh kerajaan seperti projek pembinaan masjid.
“Menjadi tanggungjawab kerajaan merancang sesuatu dengan teliti dengan perlu memandang ke hadapan. Putrajaya dahulu pada mulanya ke Pahang dan kini dari sebuah ladang getah biasa telah menjadi pusat pentadbiran yang telah dibangunkan oleh kerajaan yang bertanggunjawab sehingga hari ini.
“Dan sudah masanya Putrajaya dilengkapi dengan roh al-Quran, roh Islam yang boleh dimanfaatkan bukan sahaja di Malaysia tetapi di dunia ekoran Putrajaya sering dikunjungi oleh seantero dunia khususnya pelacong Asian,” katanya.
Selain itu, Khalid juga cuba melontarkan pertanyaan berhubung langkah Kementerian Wilayah Persekutuan dalam membawa pendekatan baharu bagi menghidupkan kembali hab halal di Labuan dijalankan bagi mendatangkan hasil.
Annuar memberitahu, projek tersebut yang dilaksanakan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak mendapat sambutan kerana terdapat banyak permasalahan yang timbul.
Beliau turut menyindir dasar Khalid ketika menerajui Kementerian Wilayah Persekutuan yang tidak mahu menyambung projek-projek positif yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika memerintah dahulu.
“Saya sedar dan telah diberi taklimat tentang usaha sewaktu Shah Alam menjadi menteri untuk diberi sewa kepada syarikat tertentu yang terlibat dalam minyak, gas dan perkapalan serta sebagainya.
“Sebagai seorang menteri saya menyambung perkhidmatan Yang Berhormat (Shah Alam), tidak makna bila ditukar menteri segala-galanya perlu ditukar seperti Yang Berhormat cuba lakukan ketika menjadi menteri awl-awal dahulu, semua hendak ditukar hingga menjadi tikus membaiki labu,” jelasnya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH