5 OGOS: Tindakan Ahli Parlimen DAP Jelutong, RSN Rayer, cuba mencelah ketika Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique mahu menjawab soalan berhubung isu perobohan kuil Hindu, mencetuskan perang mulut antara mereka.
Perbuatan Rayer itu menyebabkan Halimah berang dan mengarahkan Rayer duduk bagi memberi peluang kepadanya menjawab pelbagai soalan dibangkitkan Ahli Parlimen termasuklah isu perobohan kuil di Kedah.
“Yang Berhormat sila duduk ‘sit down’… Nanti dulu Yang Berhormat saya belum mula menjawab soalan lagi duduklah.
“Saya arahkan Yang Berhormat duduk kerana ini adalah ‘floor’ saya berucap… kamu duduk dulu saya akan jawab,” tegas Halimah ketika sesi pergulungan bahas Titah Diraja Menjunjung Kasih Yang di-Pertuan Agong di Parlimen, sebentar tadi.
Tindakan Jelutong yang enggan mengalah menyebabkan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon, campur tangan bagi meredakan keadaan dan memberi peluang kepada Menteri Perpaduan Negara meneruskan ucapan penggulungan dan menjawab soalan dikemukakan Ahli Parlimen, sebelum ini.
“Ahli-Ahli Yang Berhormat kalau ada persoalan dikemukakan saya akan jawab tapi jangan bersikap seperti ini (merujuk kepada perbuatan Jelutong). Sila duduk Yang Berhormat Jelutong saya mahu menjawab soalan.
“Tolong duduk kalau ‘you’ enggan duduk macam mana saya mahu jawab… ‘You are learned MP’. Kamu duduk baru jawab… Cara You bangkitkan persoalan menyebabkan orang rasa tidak sedap hati,” katanya.
Halimah kemudian meluahkan rasa terkilan dan kecewa terhadap Rayer kepada Mohd Rashid yang bertindak mempengerusikan Dewan Rakyat ketika sesi berkenaan.
“Saya cuma memberitahu bahawa saya hanya akan menjawab soalan dikemukakan oleh Ahli Yang Berhormat berkaitan kementerian saya.
“Kalau ada isu berbangkit lain silakan… Yang Berhormat nak marah apahal… Kita kawan di luar sana (luar Dewan Rakyat), jadi tolong jadi kawan dalam dewan ini sekali,” katanya sambil meneruskan ucapan pengulungannya.
Menjawab isu perobohan kuil Hindu dibangkitkan Rayer sebelum ini, Halimah berkata beliau sudah turun membuat tinjauan ke lokasi kejadian selepas kes berkenaan disebut di Parlimen, baru-baru ini.
“Saya jumpa dengan kerajaan negeri Kedah untuk mendapatkan penjelasan mengenai kes terbabit. Adakah perkara disebutkan oleh YB Jelutong sebelum ini ada kaitan dengan kementerian ini.
“Dari segi soal isu sensitif melibatkan ketegangan antara kaum dan agama yang menjadi skop tugas kementerian saya. Jadi kerajaan negeri Kedah sudah maklumkan kepada saya mengenai beberapa keputusan sudah dibuat.
“Saya tidak perlu menjawabnya di sini kerana selepas berbincang dengan kerajaan negeri dan Datuk Bandar Bandaraya Alor Setar, isu sebenar ialah berkaitan kuil terletak dengan stesen kereta api yang telah diambil tindakan oleh MBAS,” katanya.
Halimah kemudian memaklumkan kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan kerana persoalan berbangkit berkenaan ada kaitan dengan tindakan diambil kerajaan negeri melalui MBAS.
“Dia bukan isu perkauman atau pertikaian antara agama dan sebagainya. Malah, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan sudah menjawab persoalan dibangkitkan oleh Jelutong.
Rayer kemudian mengucapkan terima kasih kepada Halimah kerana sanggup turun padang dan memantau sendiri isu perobohan kuil terbabit.
Malah wakil DAP itu turut memberikan pujian kepada Halimah kerana proaktif dan kemudian disambut Halimah dengan mengucapkan penghargaan kepada Rayer yang akur tertib dalam mencelah sekali gus menyaksikan sesi penggulungan itu berlangsung tanpa banyak gangguan. –Oleh HAIKA KHAZI