5 OGOS: Pemimpin-pemimpin kerajaan dan parti politik di negara ini menyatakan simpati kepada kerajaan dan rakyat Lebanon berikutan tragedi letupan besar di Beirut yang setakat ini dilaporkan telah meragut puluhan nyawa dan menyebabkan ribuan mangsa cedera.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau bersedih dengan laporan yang menyayat hati di Beirut ketika seluruh dunia masih berperang dengan wabak COVID-19.
“Semoga Kerajaan Lebanon dan rakyatnya tabah menghadapi ujian yang getir ini. Kepada Allah SWT jualah tempat kita bergantung harap dan memohon perlindungan,” katanya dalam hantaran melalui Facebook, hari ini.
Sementara itu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang bersimpati dengan tragedi berkenaan menegaskan, keamanan dan keselamatan rakyat perlu diutamakan.
Beliau berkata, sebarang tindakan yang menggugat keharmonian adalah dikutuk dan wajar dibawa ke muka pengadilan.
“Malaysia, melalui Wisma Putra, telah menyatakan komitmen untuk membantu Lebanon bangkit daripada bencana ini.
“Semoga Lebanon sentiasa dalam lindungan Allah, diberikan kesejahteraan dan keamanan serta rakyatnya bersabar menghadapi ujian,” jelasnya.