5 OGOS: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan takziah kepada seluruh rakyat Lebanon atas tragedi letupan di Pelabuhan Beirut yang menggemparkan negara itu awal pagi tadi.
Menurut beliau, kerajaan dan rakyat Malaysia menzahirkan rasa simpati kepada keluarga mangsa yang terkorban dan cedera dalam kejadian itu serta berdoa agar mereka tabah menghadapi dugaan ini.
Pada masa sama, Muhyiddin melahirkan rasa syukur kerana rakyat Malaysia di ibu negara Lebanon itu dilaporkan selamat dalam kejadian yang mengorbankan lebih 70 nyawa.
“Malaysia mengucapkan takziah kepada seluruh rakyat Lebanon atas tragedi letupan di Pelabuhan Beirut yang menggemparkan negara itu awal pagi tadi.
“Alhamdulillah, semua rakyat Malaysia di Beirut dilaporkan selamat. Malaysia bersedia menghulurkan apa jua bantuan yang diperlukan oleh Lebanon,” katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebook beliau hari ini.
Dua letupan besar menggegarkan Beirut menyebabkan sekurang-kurangnya 73 orang terbunuh dan 3,000 yang lain cedera, lapor agensi berita Xinhua.
Letupan berlaku di Pelabuhan Beirut sekitar 6.10 petang waktu Beirut atau awal pagi waktu Malaysia dan menggegarkan hampir kesemua bangunan di seluruh bandar selain menyebabkan banyak korban nyawa dan kerosakan.
Punca sebenar letupan masih belum diketahui, tetapi Menteri Dalam Negeri Mohammad Fahmi berkata ia mungkin disebabkan bahan kimia yang disimpan di pelabuhan berkenaan meletup.
Sementara itu, Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam satu kenyataan di Facebook beliau memaklumkan Perwakilan Malaysia di Beirut melaporkan semua rakyat Malaysia di sana selamat.
“Malaysia tumpang bersedih dan sentiasa mendoakan rakyat Lebanon yang kita percaya amat tabah mendepani ujian ini.
“Insya-Allah, Malaysia akan bantu apa sahaja yang terdaya. Laporan awal dari Perwakilan Malaysia di Beirut, semua rakyat Malaysia di sana selamat dan telah dinasihatkan agar kekal berada di rumah masing-masing,” katanya. -Oleh M. HERMAN HAMID