5 OGOS: Walaupun Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin telah memberi penjelasan berhubung status kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim semalam, Ahli Parlimen PH Jelutong, RSN Rayer masih tidak berpuas hati dan cuba membangkitkannya sekali lagi dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Beliau mendakwa Hamzah tidak menjawab soalannya dan ingin menggunakan Peraturan Mesyuarat 36 (12) terhadap Hamzah kerana dikatakan mengelirukan dewan.
Rayer membangkitkan isu itu sebelum sesi penggulungan perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar bermula.
Walau bagaimanapun, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun menyatakan, beliau mengikuti siaran langsung penggulungan oleh Hamzah dan seingat beliau, Hamzah memberitahu bahawa seramai 12 suspek akan dipanggil semula untuk memberi keterangan dan bukannya dituduh.
“Fail itu akan dibuka semula dan disiasat semula.
“Mengikut Peraturan 36 (12) kalau hendak dibangkitkan soal mengelirukan dewan maka Yang Berhormat perlulah merujuk beliau kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan. Maka, perlu satu usul mengenai perkara itu,” katanya.
Namun, Rayer masih tidak berpuas hati dengan penjelasan Azhar dan menyatakan soal merujuk isu berkaitan jawapan Hamzah kepada jawatankuasa berkenaan adalah soal kedua.
Azhar seterusnya meminta Rayer menulis surat kepadanya bagi menerangkan bagaimana jawapan Hamzah boleh dianggap sebagai mengelirukan.
“Kita tak boleh paksa menteri menjawab soalan, itu hak dia, kalau dia tak nak jawab soalan kerana sebab-sebab atau kepentingan awam, beliau boleh tidak menjawab.
“Tetapi seingat saya semalam menteri menjawab,” jelasnya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said ketika bangkit mencelah turut mengesahkan bahawa Hamzah telah memberi penjelasan tentang status kes Muhammad Adib.
“Tiada perkataan menyatakan beliau enggan atau melarikan diri untuk menjawab,” ujarnya.
Beliau menambah, kementerian telah memberikan cadangan kepada Jabatan Peguam Negeri yang seterusnya akan memutuskan sama ada akan mendakwa suspek-suspek di bawah Kanun Keseksaan atau mengadakan inkues baharu.
Ismail juga meminta Rayer sebagai seorang peguam yang berpengalaman supaya bersabar dengan proses siasatan kes tersebut. – Oleh HUSSAINI AMRAN