5 OGOS: Lelaki warga Bangladesh, Md Rayhan Kabir yang mencetuskan provokasi dalam dokumentari berjudul ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ disenaraihitamkan dari memasuki negara ini buat selama-lamanya selepas diusir hujung bulan ini.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen (Imigresen), Datuk Khairul Dzaimee Daud, lelaki itu akan dihantar pulang ke negara asal sebaik sahaja penerbangan pertama ke Bangladesh disambung semula yang dijangka seawal 31 Ogos ini.
“Kita akan hantar pulang dia ke negara asal selepas selesai semua siasatan polis terhadapnya, saya difahamkan hasil siasatan oleh pihak polis juga sudah dihantar ke Jabatan Peguam Negara.
“Saya tidak boleh anggarkan bila dia akan dihantar pulang, tetapi kita dimaklumkan penerbangan paling awal ke Bangladesh adalah pada 31 Ogos ini,” katanya dalam sidang media yang diadakan di Putrajaya hari ini.
Menurutnya, Md Rayhan akan disenaraihitamkan daripada memasuki negara ini serta pas lawatan kerjanya juga akan ditamatkan.
Persidangan Dewan Rakyat semalam bertukar kecoh apabila beberapa ahli Parlimen blok pembangkang bangkit mencelah untuk mempersoalkan isu tangkapan Md Rayhan pada 24 Julai lalu.
Ahli Parlimen DAP-Seputueh, Teresa Kok menjadi antara paling lantang menimbulkan polemik itu meminta pengesahan sama ada kerajaan sudah menyiasat dakwaan Md Rayhan berhubung operasi dan layanan Jabatan Imigresen terhadap warga asing ketika pandemik COVID-19.
Pada 3 Julai lalu, Al Jazeera menyiarkan dokumentari berjudul ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ dengan Md Rayhan dipetik mengkritik kerajaan Malaysia dan mendakwa wujud diskriminasi dalam mengendali kes COVID-19 membabitkan warga asing.
Pada 24 Julai lalu, media melaporkan Md Rayhan ditahan oleh Imigresen ketika bersembunyi di sebuah kondominium di Jalan Pahang di Kuala Lumpur.
Imigresen menahan Md Rayhan bagi membantu siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63.