5 OGOS: Siasatan kes rasuah pembelian banglo di bawah harga pasaran melibatkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guang Eng boleh dibuka semula sekiranya terdapat keterangan baru.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, walaupun Guan Eng sudah dibebas dan dilepaskan oleh mahkamah setelah Peguam Negara ketika itu memutuskan menarik balik pendakwaan, namun tiada halangan untuk siasatan dibuka semula.
“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah sebuah badan bebas dalam menjalankan penyiasatan terhadap kes-kes rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.
“Tiada halangan untuk membuka semula siasatan sekiranya terdapat fresh evidence di dalam kes tersebut,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Ahli Parlimen Pas-Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari.
Ahmad Fadhli bertanya adakah Kerajaan berhasrat untuk membuka semula siasatan kes rasuah melibatkan bekas Menteri Kewangan di dalam urusan jual beli banglo yang telah ditarik balik pendakwaan ketika pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan (PH).
SPRM sendiri dalam respons pembebasan Guan Eng amat terkejut dan turut menegaskan bahawa keputusan menarik balik kes ke atas bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu telah diputuskan oleh Pejabat Peguam Negara dan bukannya daripada SPRM.
Pada 3 September 2018, permohonan pihak pendakwaan menggurkan Guan Eng daripada tuduhan rasuah berhubung pembelian sebuah lot tanah dan banglo serta ahli perniagaan Phang Li Koon daripada dakwaan bersubahat dibenarkan mahkamah.
Ini berikutan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd Daud, melalui representasi dikemukakan pihak pembelaan kepada Pejabat Peguam Negara untuk menggugurkan tuduhan berkenaan.
Guan Eng diwakili peguam Ramkarpal Singh manakala peguam Datuk V Sithambaram bertindak bagi pihak Li Koon.
Pada 30 Jun 2016, Guan Eng mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan rasuah membabitkan penukaran status tanah daripada zon pertanian kepada zon perumahan dan pembelian lot tanah serta sebuah banglo di Jalan Pinhorn, Pulau Pinang, di bawah nilai pasaran.
Bagi dua pertuduhan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan.
Li Koon pula didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan, yang dibacakan bersama Seksyen 165 kanun sama kerana bersubahat dengan Guan Eng berhubung pembelian banglo itu.
Perbicaraan kes itu bermula pada 26 Mac 2018 dengan 25 saksi sudah dipanggil memberikan keterangan.
Sementara itu, jelas Takiyuddin, kes banglo ini telah dimohon oleh Peguam Negara pada ketika itu, Tommy Thomas untuk DNAA atau discharge not amounting to acquittal.
Katanya, DNAA bermaksud tertuduh dibebaskan tanpa dilepaskan dan bukan bermaksud pelepasan sepenuhnya.
“Namun demikian mahkamah setelah mendengar hujah pihak Peguam Negara terdapat new lead, mahkamah telah memberikan pelepasan sepenuhnya kepada tertuduh.
“Selepas itu Peguam Negara tidak lagi membuat apa-apa permohonan rayuan berhubung keputusan mahkamah,” jelasnya. – Oleh M. HERMAN HAMID