5 OGOS: Tiada anggota tentera Malaysia di Lubnan yang tercedera dalam kejadian letupan di ibu kota negara itu pada petang Selasa waktu tempatan yang meragut 73 nyawa setakat ini.
Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang, berkata pasukan pengaman Batalion Malaysia 850-7 (MALBATT 850-7) di Lubnan, tidak berada berhampiran Pelabuhan Beirut.
Memetik laporan Bernama, penugasan di Lubnan dilaksanakan pasukan pengaman MALBATT 850-7 yang menyertai misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (UNIFIL) selama setahun sejak 1 Oktober tahun lalu.
Dua letupan besar menggegarkan Beirut, Lubnan pada Selasa, menyebabkan sekurang-kurangnya 73 orang terbunuh dan 3,000 yang lain cedera, lapor agensi berita Xinhua.
Letupan berlaku di Pelabuhan Beirut sekitar 6.10 petang waktu tempatan (1610 GMT), menggegarkan hampir kesemua bangunan di seluruh bandar selain menyebabkan banyak korban nyawa dan kerosakan.
Punca sebenar letupan masih belum diketahui, tetapi Menteri Dalam Negeri Mohammad Fahmi berkata ia mungkin disebabkan bahan kimia yang disimpan di pelabuhan berkenaan meletup.
Peristiwa menggemparkan itu berlaku pada Selasa kira-kira 6.10 petang waktu tempatan (1610 GMT).