5 OGOS: Top Glove Corporation Bhd memberi jaminan bahawa pihaknya akan menyelesaikan isu larangan eksport produknya ke Amerika Syarikat (AS) dalam masa sebulan selepas dituduh mengamalkan buruh paksa, kerja lebih masa berlebihan, jerat hutang dan merampas pas.
Pengerusinya, Tan Sri Lim Wee Chai berkata isu ini mula timbul berikutan laporan berita asing yang diterimanya daripada aktivitis di Malaysia yang berniat melakukan sabotaj terhadap syarikat tersebut.
Menurut beliau, dakwaan yang ditimbulkan itu merupakan isu lama dan kini pihaknya sentiasa mematuhi undang-undang buruh Malaysia dan melaksanakan langkah yang ketat dalam memastikan kerja lebih masa dilakukan pekerjanya tidak melebihi had maksimum dibenarkan bawah undang-undang.
“100 peratus apa yang dinyatakan oleh aktivis itu merupakan kisah lama dan Jabatan Kastam AS hanya mendengar sebelah pihak sahaja dan sekarang ini kita ambil pendekatan untuk menerangkan semula pada mereka.
“Kita memang berharap agar Ogos ini kita akan dapat selesaikan masalah ini yang kami sasar masalah ini akan diselesaikan dalam masa sebulan. Perkembangan setakat ini bagus dan berjalan lancar. Kita lakukan rundingan hampir setiap hari agar Jabatan Kastam AS boleh memahami kami berbanding dengar kepada satu pihak sahaja,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Bangunan Parlimen, hari ini.
Turut hadir, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dan Timbalannya, Willie Mongin.
Dalam pada itu, Mohd Khairuddin memberitahu kerajaan sentiasa komited membantu Top Glove bagi menyediakan jalan penyelesaian untuk menjernihkan kembali nama Malaysia di persada dunia.
“Segala masalah yang berbangkit akan cuba diselesaikan oleh Top Glove sebaik yang mungkin terutamanya isu yuran pengambilan pekerja yang didakwa belum dibayar sedangkan itu isu lama kerana terkini segala kos pengambilan ditanggung oleh Top Glove.
“Kedua isu melibatkan kebajikan pekerja di mana mereka beri jaminan telah pun diselesaikan oleh Top Glove. Ini dua komitmen yang dinyatakan Top Glove dan harap dunia dengar penjelasan ini. Jangan memandang yang tak baik, banyak lagi dilakukan oleh mereka khususnya dalam membantu masyarakat dunia ketika menghadapi pandemik COVID-19,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Khairuddin menambah pihaknya telah pun melakukan kajian tentang realiti buruh paksa di negara ini yang melibatkan beberapa kementerian dan telah diserahkan kepada Kabinet untuk dibawa dan diserahkan kepada AS.
“Kajian ini dah siap pun tahun 2018, tahun 2020 ini kita telah dapatkan kelulusan dari Kabinet untuk kita serahkan kepada AS. Ini membuktikan bahawa kerajaan sedang bergerak ke arah apa sahaja isu berbangkit demi menyelesaikan masalah buruh paksa.
“Kajian itu memperakui bahawa di peringkat kementerian semua syarikat tidak boleh mengamalkan buruh paksa dan buruh kanak-kanak kerana kerajaan tidak pernah dan tidak akan memperakui sebarang tindakan gunakan kedua-dua buruh itu,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH