5 OGOS: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sedia mengkaji cadangan penubuhan badan berkanun khusus bagi menjaga kebajikan dan membantu mempercepatkan pembangunan sosioekonomi masyarakat Orang Asli secara lebih tersusun di negara ini tahun depan.
Menterinya, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata, cadangan dikemukakan oleh Ahli Parlimen BN Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor, di Dewan Rakyat ketika membahaskan usul menjunjung kasig titah ucapan Yang di-Pertuan Agong minggu lalu amat bagus bagi menjaga kebajikan masyarakat Orang Asli secara lebih tersusun.
“Justeru itu kita akan melakukan kajian terperinci dan mengadakan sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan bagi membolehkan cadangan itu direalisasikan tidak lama lagi.
“Kalau benda ini (cadangan penubuhan badan berkanun) berlaku YB Cameron Highland akan duduk dalam jawatankuasa tersebut rangka kerja perbadanan terbabit,” katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong bagi kementeriannya dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Ramli selaku Ahli Parlimen pertama mewakili masyarat Orang Asli mencadangkan kerajaan menubuhkan badan berkanun dikenali sebagai Lembaga Kemajuan Orang Asli yang akan berfungsi seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi membantu peningkatan pembangunan sosioekonomi masyarakat Orang Asli di negara ini pada masa depan.
Terdahulu, tindakan Dr Abdul Latiff mencadangkan supaya Ahli Parlimen GPS Lubok Antu, Jugah Anak Muyang melobi dengan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) untuk memasukkan projek pembangunan di kawasan sebagai keutamaan menimbulkan sedikit kekecohan apabila Ahli Parlimen PH Jelutong, RSN Rayer menuduh itu adalah satu rasuah secara terbuka.
Tindakan Ahli Parlimen Jelutong berkenaan menyebabkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun terpaksa campur tangan dan meminta Rayer duduk bagi membolehkan Dr Abdul Latiff menyambung pengulungan di sesi perbahasan terbabit.
“YB (Rayer) ini bukan rasuah secara terbuka setakat yang saya faham melobi itu bermaksud berbincang bagi membolehkan projek berkenaan berjalan lancar.
“Saya rasa Lubok Antu berterima kasih naik peruntukan kawasan.. Jelutong tolong duduk…sejuk sikit.. lubuk hantu sokong selepas dibayar atau diberikan peruntukan dari segi semantik Jelutong mempunyai kefahaman lain,” katanya sebelum meminta Dr Abdul Latiff menyambung perbahasannya semula. – Oleh HAIKA KHAZI