6 OGOS: Seramai 31 individu yang diarah menjalani perintah kuarantin di rumah telah diambil tindakan kerana melanggar perintah operasi standard (SOP) termasuk berada di luar kawasan kediaman.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan memandang serius insiden ketidakpatuhan SOP kuarantin di rumah yang menyebabkan penularan jangkitan COVID-19 kepada ahli keluarga dan juga masyarakat sekeliling.
Katanya, pihak berkuasa tidak berkompromi dengan keingkaran perintah kuarantin dengan semalam sahaja Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat 2,018 pemeriksaan mengejut ke atas pesakit dalam pemantauan (PUS).
“PDRM tidak berkompromi lagi dan telah mengambil tindakan mengikut Seksyen 22(B) Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) terhadap 31 individu yang melanggar SOP kuarantin di rumah.
“Kertas siasatan telah dihantar ke Pejabat Peguam Negara untuk tindakan susulan termasuk pendakwaan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, PDRM telah menahan 121 individu atas kesalahan ingkar arahan PKPP semalam dan daripada jumlah itu, seramai 32 individu telah direman, dua individu dijamin manakala 87 individu lagi dikenakan kompaun.
Katanya, antara kesalahan ingkar arahan PKPP termasuk premis beroperasi lebih masa (satu), aktiviti melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial (59), apa-apa aktiviti yang melanggar SOP (54), melanggar SOP home quarantine (tiga) dan aktiviti judi dalam talian (dua).
“Kita terus mempertingkatkan pemeriksaan serta mengambil tindakan ke atas pemilik premis dan orang awam yang tidak mematuhi SOP PKPP yang ditetapkan.
“Ini termasuk pemakaian pelitup muka di tempat-tempat awam yang sesak seperti di pasar atau pusat membeli belah dan di dalam pengangkutan awam,” jelasnya.
Sementara itu, jelas Ismail Sabri, seramai 6,473 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan dan semua mereka ditempatkan di 26 hotel serta lima Institut Latihan Awam (ILA) di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak dan Perlis bermula 24 Julai lalu hingga semalam.
“Daripada jumlah itu, seramai 18 individu telah dibawa ke hospital untuk rawatan kerana positif Covid-19,” katanya.