6 OGOS: Kadar pengedaran mata wang palsu di negara ini masih berada pada tahap rendah berbanding di beberapa negara jiran yang lain.
Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah berkata, berdasarkan perangkaan Bank Negara Malaysia (BNM), kadar pemalsuan mata wang yang dikesan adalah 1.4 helai per sejuta pada 2006 dan 1.2 helai per sejuta pada 2009 manakala bagi separuh pertama tahun ini kadarnya adalah 1.0 per sejuta.
Menurut beliau, mata wang negara dilengkapi antara 10 hingga 15 ciri-ciri keselamatan bagi menangani risiko pemalsuan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Kita sedar perkara ini namun kita ada satu kadar tentukan wang palsu ini kita lihat di negara kita betul ada kes-kes terpencil seperti Yang Berhormat (Jelebu) melalui BNM namun agak rendah.
“Sekiranya wujud aduan mengenai edaran mata wang palsu, ia boleh dikemukakan kepada BNM untuk siasatan lanjut,” katanya dalam sesi soal jawab Sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan tambahan Ahli Parlimen BN Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias mengenai kegiatan pengedaran mata wang palsu yang didakwa semakin meruncing di Malaysia, selain langkah BNM untuk mengekang kegiatan berkenaan.
Jalaluddin mengakui beliau turut menjadi mangsa apabila menerima wang palsu setelah seorang peniaga pasar malam memulangkan baki kepadanya, minggu lalu.
Mohd Shahar seterusnya meminta Jalaluddin mengemukakan perkara itu kepadanya dan beliau akan meminta BNM menyiasat dakwaan tersebut. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH