6 OGOS: Polis sudah mengesan pengawal keselamatan warga Nepal yang dipukul oleh rakan senegaranya dan rakaman videonya tular di media sosial baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Rajab Ahad Ismail, berkata mangsa hadir ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Wangsa Maju pada jam 5.30 petang, semalam.
“Mangsa berusia 26 tahun berjaya dikesan dengan kerjasama pihak Kedutaan Nepal di negara ini yang kemudian membawanya ke pihak polis.
“Keterangan lengkap daripada mangsa berhubung kejadian itu sudah diambil dan beliau memberi kerjasama penuh dalam membantu siasatan polis,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kata beliau, pihaknya kini dalam proses akhir melengkapkan kertas siasatan sebelum dihantar ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan seterusnya.
Isnin lalu, polis menahan suspek yang seorang lelaki warga Nepal berusia 34 tahun bagi membantu siasatan polis berhubung kejadian itu.
Menerusi video berdurasi 44 saat bertarikh 7 Julai lalu itu, kelihatan mangsa dipukul berkali-kali dengan kayu dipercayai cota selain ditampar dalam kejadian di tempat letak kenderaan sebuah kondominium di Jalan Madrasah, Wangsa Maju.