6 OGOS: Mahkamah Tinggi hari ini menangguhkan prosiding perbicaraan kes rasuah Datin Seri Rosmah Mansor berhubung pembekalan dan pemasangan sistem solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak, kerana peguambelanya yang ditugaskan pemeriksaan balas terhadap saksi pendakwaan, tidak sihat.
Dalam prosiding ringkas, peguam Azrul Zulkifli Stork memaklumkan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bahawa beliau terjatuh malam tadi dan keadaannya semakin teruk.
“Saya terjatuh di kondominum saya malam tadi. Keadaan saya semakin teruk dan saya memohon mahkamah untuk melapangkan perbicaraan kes hari ini, kerana saya perlu berjumpa doktor,” katanya.
Memetik laporan Bernama, Azrul ditugaskan untuk meneruskan pemeriksaan balas terhadap saksi pendakwaan ke-17, Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin, 61.
Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram yang juga bekas Hakim Mahkamah Persekutuan tidak membantah permohonan pihak pembelaan itu.