6 OGOS: Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng seperti tidak senang duduk apabila Ahli Parlimen BN Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan membangkitkan soalan sama ada wang bayaran balik cukai barangan dan perkhidmatan (GST) berjumlah RM19.4 bilion pada 2018 ‘dirompak’ atau sebaliknya.
Ahmad bertanya soalan itu ketika mencelah Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong bagi kementeriannya dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Kekecohan tercetus apabila Guan Eng yang juga Ahli Parlimen PH Bagan tidak berpuas hati apabila Ahli Parlimen BN Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim mendakwanya berbohong kerana pernah menuduh kerajaan terdahulu di bawah Barisan Nasional (BN) ‘merompak’ wang tersebut dalam sidang Dewan Rakyat pada Ogos 2018.
Keadaan menjadi semakin panas setelah Tengku Zafrul memulangkan paku buah keras kepada Guan Eng dengan bertanya sama ada keputusan menetapkan kadar GST sifar pernah dibentangkan kepada Kabinet.
Guan Eng kelihatan seperti tidak berpuas hati dan berterusan membuat kecoh sehingga menyebabkan sesi penggulungan oleh Tengku Zafrul terganggu.
Namun, setelah Yang Dipertua Dewan Rakyat memberi amaran sebanyak dua kali, baru Guan Eng duduk.
Setelah keadaan tenang, Tengku Zafrul menyatakan, pada 2019, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) telah membentangkan laporan tentang siasatan yang dibuat berikutan tuduhan yang dibuat oleh Guan Eng itu.
“Tidak ada kehilangan hasil dalam kutipan GST,” jelasnya.
Walau bagaimanapun, Ahli-Ahli Parlimen PH termasuk Khoo Poay Tiong (Kota Melaka) dan Tony Pua (Damansara) tidak berpuas hati dengan penjelasan Tengku Zafrul.
Berikutan gangguan berterusan oleh Ahli-Ahli Parlimen PH, Tengku Zafrul terpaksa mengakhiri penggulungannya dan akan memberi jawapan bertulis terhadap perkara-perkara yang belum sempat dibentangkan. – Oleh HUSSAINI AMRAN