7 OGOS: Presiden Parti Reformasi Negeri (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan mempersoalkan kesahihan dakwaan yang dibuat oleh Setiausaha Sulit Yang Dipertua Negeri Sabah, Abinan Asli berhubung isu pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dalam kenyataan media semalam.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Keningau menegaskan, memandangkan isu tersebut telah dibawa ke mahkamah, Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin sebagai seorang bekas peguam sepatutnya tidak mengulas tentang perkara yang dianggap sebagai subjudis.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambunan itu menambah, mereka tidak seharusnya menganggap rakyat Sabah akan mempercayai pembubaran DUN Sabah berlaku tanpa sebab yang sah justeru menjadikan tindakan itu tidak munasabah.
“Adakah mereka juga berharap rakyat percaya bahawa perjumpaan antara Tuan Yang Terutama, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Nardin Awang dan beberapa orang yang lain pada pagi 29 Julai 2020 untuk memaklumkan kepada Tuan Yang Terutama tentang kesediaan Tan Sri Musa Aman untuk bertemu dengan Tuan Yang Terutama bagi mengemukakan 33 akuan bersumpah dan pemintaan Tuan Yang Terutama untuk melihat salinan asal akuan bersumpah tersebut, tidak berlaku?
“Mungkin mereka juga mahu rakyat mempercayai bahawa sidang media yang diadakan oleh Musa dan 32 ADUN lain yang menyokong beliau pada pagi 29 Julai 2020 yang disiarkan dalam semua akhbar dalam talian dan saluran televisyen di negara ini pada waktu perdana adalah sangat tidak penting sehingga menyebabkan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Tuan Yang Terutama tidak tahu apa-apa mengenainya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Jeffrey turut bertanya sama ada Juhar tidak tahu tentang sebab mengapa kumpulan ADUN yang menyokong Musa memohon untuk berjumpa beliau pada 29 Julai lalu bagi mengemukakan 33 akuan bersumpah seperti yang diminta.
Walau bagaimanapun, beliau memberitahu, Juhar memaklumkan pada petang 29 Julai lalu bahawa sudah lewat dan mencadangkan kepada ADUN Balung, Datuk Osman Jamal yang mewakili 33 ADUN terbabit supaya menghantarnya pada keesokan hari.
“Jadi, kami akur dan Osman pergi ke Istana untuk menghadiri pertemuan yang dijadualkan pada 30 Julai 2020 untuk mengemukakan akuan bersumpah secara rasmi kepada Tuan Yang Terutama melalui Setiausaha Sulitnya seperti yang dipersetujui oleh Tuan Yang Terutama pada malam sebelumnya. Mungkin perjumpaan itu hanya wujud dalam imaginasi kami.
“Adakah ia satu kebetulan bahawa Mohd Shafie bertemu dengan Tuan Yang Terutama untuk memohon pembubaran (kerana beliau menyedari telah kehilangan kerajaan negeri) beberapa minit sebelum Osman yang mewakili 33 ADUN mengemukakan salinan asal akuan bersumpah?” soalnya.
Jeffrey seterusnya mempersoalkan sama ada Abinan mahu rakyat Sabah mempercayai apa yang berlaku itu sebagai amalan baik di bawah Perlembagaan Negeri Sabah.
“Saya perlu menyatakan kronologi yang disebutkan sebelum ini berhubung peristiwa yang berlaku pada 29 dan 30 Julai lalu yang membawa kepada pembubaran DUN kerana kebenaran mesti didedahkan dan keadilan mesti ditegakkan,” jelasnya.
Sekurang-kurangnya, beliau memberitahu, Juhar seharusnya membenarkan 33 ADUN terbabit untuk bertemu dengannya, menemu bual mereka bagi menghapuskan sebarang keraguan yang timbul.
“Tuan Yang Terutama sepatutnya memberi layanan yang sama terhadap 33 ADUN berkenaan sama seperti yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong kepada 222 Ahli Parlimen ketika konflik perebutan kuasa Pakatan Harapan pada Mac lalu,” katanya. – Oleh HUSSAINI AMRAN