7 OGOS: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan tiga lagi untuk membatalkan saman Tun Dr Mahathir Mohamad dan lain-lain berhubung pembatalan keahlian mereka dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Dr Mahathir sebelum ini menyaman Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu dan beberapa lagi memohon perisytiharan, antaranya mereka adalah ahli Bersatu yang sah, masih lagi memegang jawatan dalam parti (bagi pemegang jawatan) dan layak untuk bertanding pada pemilihan parti.
Mereka memohon perisytiharan bahawa semua surat pemberhentian yang ditandatangani Muhammad Suhaimi bertarikh 28 Mei lalu dan pengesahan melalui mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti bertarikh 4 Jun lalu tidak sah dan terbatal.
Keahlian Dr Mahathir bersama bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan beberapa ahli dalam Bersatu terhenti kerana duduk di bangku pembangkang ketika persidangan pembukaan Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu.
Selain bekas Perdana Menteri itu dan anaknya, yang turut terhenti keahlian ialah bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr Maszlee Malik dan Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah.
Sehubungan itu, pencalonan Dr Mahathir bagi jawatan Pengerusi, Mukhriz bagi jawatan Timbalan Presiden dan Syed Saddiq bagi jawatan Ketua Armada bagi pemilihan Bersatu turut tergugur.