7 OGOS: Tindakan perundangan dan tatatertib yang tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak yang menyalahgunakan logo Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) termasuk logo ‘Bersatu Blackout’.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, tindakan perundangan ini termasuk pertuduhan jenayah kerana penyalahgunaan logo Bersatu adalah satu kesalahan mengikut Seksen 50(3) Akta Pertubuhan 1966.
Tegas Menteri Dalam Negeri itu, menerusi peruntukan berkenaan, mereka yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi tiga bulan atau denda tidak melebihi RM3,000.
“Selain daripada itu, Bersatu juga akan mengambil tindakan tegas terhadap sama ada calon parti atau ahli parti yang menyalahgunakan logo Bersatu.
“Ini termasuk tindakan membatalkan pencalonan dan/atau mengambil tindakan disiplin termasuk memecat keahlian mereka yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan akhbar ini.
Penyalaghunaan logo Bersatu boleh dikesan antaranya di media sosial yang digunakan penyokong bekas pemimpin-pemimpin yang telah terhenti keahlian mereka daripada parti.
Malah terdapat sebuah program tidak lama dahulu di sebuah negeri yang terang-terangan menyahlagunakan logo Bersatu. -Oleh M. HERMAN HAMID