7 OGOS: Bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas menafikan dakwaan kononnya beliau bersetuju supaya kerajaan Pakatan Harapan (PH) menyelesaikan tuntutan dana dan aset milik Malaysia daripada bank pelaburan global, Goldman Sachs di luar mahkamah.
Beliau menyatakan, tidak akan membangkitkan perkara itu lagi dan tidak berhasrat untuk memanjangkan persengketaan dengan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
“Saya catat tanpa salinan semua surat saya mengenai Goldman Sachs kepada Perdana Menteri. Oleh itu, saya akan berhenti memberikan komen mengenai perkara ini, kecuali untuk kali terakhir menafikan bahawa kami bersetuju untuk menerima AS$1.75 bilion.
“Kami tidak setuju. Tidak ada penyelesaian yang dicapai dengan Goldmans ketika saya mengundurkan diri pada 28 Februari 2020,” katanya dalam surat yang dihantar kepada sebuah portal berita, hari ini.
Tengku Zafrul ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong bagi Kementerian Kewangand dalam sidang Dewan Rakyat semalam, mendedahkan kerajaan PH berhasrat membuat penyelesaian di luar mahkamah berhubung tuntutan dana dan aset milik Malaysia daripada bank pelaburan global, Goldman Sachs pada Februari lalu.
Ia dikemukakan menerusi syor daripada Tommy kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dalam surat bertarikh 11 Februari 2020.
Beliau berkata, syor sedemikian dibuat selepas Goldman Sachs bersetuju menaikkan tuntutan bayaran balik untuk Malaysia kepada AS$1.75 bilion (RM7.3 bilion), berbanding AS$1.5 bilion (RM6.28 bilion) yang pernah ditawarkan pada 13 Disember tahun lalu.