9 OGOS: Kemiskinan di Malaysia dijangka dibasmi sepenuhnya menjelang 2030, selaras dengan agenda Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk membasmi kemiskinan dan kebuluran.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamad berkata, satu pasukan ditubuhkan di Parlimen tahun lepas bertujuan merangka agenda Pembangunan Mampan sekali gus melihat sejauh mana Malaysia mampu mencapat matlamat yang ditetapkan PBB itu.
“Negara sedang berusaha bagi mencapai agenda berkenaan terutama membasmi kemiskinan dan kebuluran dan dalam masa yang sama, banyak ruang yang perlu diperbaiki,” katanya.
Namun, beliau berkata, agenda membasmi kemiskinan mungkin sukar dicapai memandangkan seluruh dunia kini berdepan dengan penularan pandemik COVID-19 yang memberi kesan kepada sektor ekonomi dan sebagainya.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Jeli itu berkata sehingga Jun lepas, kadar kemiskinan di Malaysia menurun kepada 5.6 peratus berbanding 7.6 peratus pada 2016.
Di samping itu, beliau berkata, kadar pengangguran di negara ini juga menurun sebanyak 0.4 peratus kepada 4.9 peratus pada Jun, berbanding 5.3 peratus pada Mei lalu susulan kejayaan langkah diambil kerajaan untuk menggerakkan semula ekonomi negara.
“Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan, jumlah pengangguran pada Jun adalah 773,200 orang manakala Mei pula sebanyak 826,100 orang.
“Perkembangan positif ini menunjukkan ekonomi negara semakin pulih namun perhatian serius masih perlu diberikan kerana definisi pengangguran yang diguna pakai amat luas,” jelasnya.
Mustapa memberitahu, dari segi konsep, penganggur adalah mereka yang tidak bekerja dan sedang mencari pekerjaan, justeru mereka yang tidak bekerja buat sementara waktu semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk diberi cuti tanpa gaji, tidak dikategorikan sebagai penganggur kerana masih mempunyai pekerjaan dan kembali bekerja semula.
Beliau menambah, kerajaan melalui pelbagai agensi turut menyalurkan bantuan kepada mereka yang terkesan terutama golongan bekerja sendiri, termasuk menerusi bayaran daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
“Dalam hal ini, kerajaan memberi perhatian serius kepada 768,000 orang yang berada dalam kategori ini,” katanya.