10 OGOS: Saksi pendakwaan ke-85 Sothilechmy Veerapan yang dipanggil semula memberi keterangan di Mahkamah Tinggi hari ini, memberitahu kesemua duit yang diterima oleh pemegang amanah Yayasan Al Falah, Tetuan Lewis & Co dan direkodkan dalam lejer adalah untuk tujuan amal.
Sothilechmy berkata demikian ketika memberi keterangan dalam perbicaraan kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan Yayasan Akalbudi yang dihadapi Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ketika menjawab soalan ketua peguam bela, Hisham Teh Poh Tek, Sothilechmy juga memberitahu kesemua lejer telah diperiksa oleh juruaudit, Raki Thomas.
Ditanya selain lejer, adakah butiran itu juga direkodkan dalam fail bertajuk “Charity”, Sothilechmy menjawab,”Ya.”
Ditanya fail itu milik siapa, Sothilechmy menjawab, “Yayasan Al-Falah.”
Hisham seterusnya mencadangkan tidak pelik bagi sebuah firma guaman meletakkan wang dalam simpanan tetap, Sothilechmy bersetuju.
Menjawab soalan Hisham lagi, Sothilechmy mengakui pernah melakukan perkara yang sama untuk pelanggannya yang lain.
Bila ditanya oleh pasukan pendakwa mengapa dia bersetuju kesemua 10 cek adalah untuk amal, Sothilechmy berkata kerana terdapat fail yang dibuka atas nama Yayasan Al-Falah.
Pendakwa bertanya sama ada terdapat dokumen di dalam fail itu yang menyatakan ia adalah untuk amal.
“Ada beberapa dokumen sokongan dalam fail itu,” jawab Sothilechmy.
Apabila ditanya siapa yang meminta fail itu dibuka, Sothilechmy menjawab, “Encik Murali.”
Terdahulu, dalam keterangan bertulisnya, Sothilechmy menjelaskan beliau telah diarahkan oleh Encik Murali untuk membuka beberapa akaun simpanan tetap di Maybank untuk Tetuan Lewis & Co.
Dia juga diarahkan membiarkan simpanan tetap tersebut melepasi tarikh matang supaya ia akan diperbaharui secara automatik secara bulanan dan akan menerima faedah dan prinsipal terhadap simpanan tetap tersebut.
Pasukan pendakwa bertanya sama ada dia pernah berjumpa atau berurusan dengan peguam bernama Faisaluddin Mohd Yusoff, Mohd Farid dan Datuk Seri Mohd Nasaie Ahmad Tarzmizi dari Yayasan Al Falah.
Dia berkata, “Tidak pernah.”
Pada akhir sesi pagi, ketua pasukan pendakwaan, Datuk Raja Rozela Raja Toran telah memohon pindaan kepada dakwaan pecah amanah jenayah (CBT) yang akan membabitkan semua 12 tuduhan.
Dia memohon supaya perkataan “telah diamanahkan dengan harta” digantikan dengan “telah diamanahkan dengan penguasaan ke atas harta”.
Prosiding perbicaraan dijalankan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.
Pasukan pendakwaan diketuai oleh Raja Rozela yang dibantu oleh Ahmad Sazilee Abdul Khairi, Lee Keng Fatt Gan Peng Kun.
Barisan peguam bela pula diketuai Hisham Teh yang dibantu Hamidi Mohd Noor, Datuk Ahmad Zaidi Zainal dan Aiman Abdul Rahman. – Oleh NOOR HASILAH ISMAIL