10 OGOS: Lebih 30 individu ‘gelang merah jambu’ yang dikesan melanggar perintah kuarantin di rumah akan menghadapi pertuduhan di mahkamah tidak lama lagi.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, siasatan kes berkenaan sudah dihantar ke Pejabat Peguam Negara.
“Ini merupakan tindakan yang serius oleh kerajaan,” tegas Menteri Kanan Pertahanan itu pada sidang akhbar di bangunan Parlimen hari ini.
Kedegilangan individu dalam perintah pengawasan yang dipakaikan gelang merah jambu untuk mematuhi arahan kuarantin di rumah telah menimbulkan kegusaran dalam kelangan rakyat.
Mereka yang baru pulang dari luar negara tidak sepatutnya berada di luar rumah sama sekali dan kemarahan rakyat meningkat apabila beberapa kluster dilaporkan kerana kedegilan golongan berkenaan.
Ini termasuk yang terbesar iaitu kluster PUI Sivagangga di Napoh, Kedah yang melibatkan seorang pemilik restoran dan kini menyebabkan lebih 40 orang dijangkiti COVID-19.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, setiap arahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) hanya boleh dikuatkuasakan jika dikeluarkan Kerajaan Persekutuan.
Beliau berkata, kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa untuk mengambil apa-apa tindakan menerusi Akta 342 kecuali negeri Sarawak yang mempunyai perundangan sendiri menyamai akta berkenaan.
Katanya, penjelasan kekeliruan ini perlu berikutan ada kerajaan negeri yang mendahului kerajaan Persekutuan dengan mengumumkan peraturan seperti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
“Apabila kerajaan negeri umum peraturan di bawah Akta 342 tanpa kelulusan kerajaan Persekutuan, maka ia tidak boleh dikuatkuasakan oleh jabatan terlibat.
“Polis misalnya tak boleh ambil tindakan, tangkap atau kenakan kompaun kalau arahan dikeluarkan kerajaan negeri tanpa kelulusan kerajaan Persekutuan,” katanya dalam sidang akhbar beliau di Parlimen hari ini.
Katanya, begitu juga dengan pengumuman peraturan tidak membenarkan perhimpunan melebihi 150 orang di Sabah yang sebenarnya tidak boleh dikuatkuasakan oleh polis.
“Ini menyalahi peraturan dikeluarkan kerajaan Persekutuan di bawah Akta 342 yang menetapkan kehadiran maksimum pada perhimpunan 250 orang. Kerajaan negeri tak boleh buat peraturan lain tetapkan 150 orang pula.
“Semua peraturan mesti dikeluarkan satu sumber iaitu oleh kerajaan Persekutuan melalui Akta 342. Jadi saya harap kekeliruan seperti ini tidak perlu berlaku lagi pada masa hadapan,” jelasnya.
Sementara itu, Ismail Sabri memaklumkan polis menahan 222 individu atas kesalahan ingkar arahan PKPP semalam.
Katanya, daripada jumlah itu, seramai 49 individu telah direman manakala lima individu dijamin dan 168 individu lagi dikenakan kompaun.
“Antara kesalahan ingkar arahan PKPP termasuk aktiviti dalam pub/kelab malam (32), aktiviti melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal (81), apa-apa aktiviti yang melanggar SOP (87), melanggar SOP home quarantine (5) dan tidak memakai pelitup muka (17).
“Task Force akan mempertingkatkan pemeriksaan serta mengambil
tindakan ke atas pemilik premis dan orang awam yang tidak
mematuhi SOP PKPP yang ditetapkan.
“Ini termasuk pemakaian pelitup muka di tempat-tempat awam yang sesak seperti di pasar atau pusat membeli belah dan pengangkutan awam,” katanya. -Oleh M. HERMAN HAMID