10 OGOS: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan Malaysia kekal dengan komitmen untuk menyokong dan memperjuangkan hak Palestin di pentas dunia.
Sambil mahu hubungan akrab dua negara terus diperkukuh, Perdana Menteri berkata, Malaysia akan terus berperanan dalam membebaskan rakyat Palestin dari sebarang bentuk penindasan.
Berkongsi pertemuan pertamanya sebagai Perdana Menteri dengan Duta Besar Palestin ke Malaysia Walid Abu Ali di Parlimen hari ini, Muhyiddin berkata, negara itu mengambil maklum mengenai pendirian dan sikap Malaysia yang tegas dalam membawa suara dan hak-hak Palestin di platform antarabangsa.
“Ini seperti di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) dan organisasi antarabangsa yang lain,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.
Perdana Menteri berkata, dalam pertemuan tadi, Duta Besar Palestin turut menyerahkan perutusan terima kasih dan ucapan Hari Raya Aidiladha daripada Presiden Mahmoud Abbas kepadanya.
Kata Perdana Menteri, Kerajaan Palestin merakamkan penghargaan kepada Malaysia atas sumbangan kit kesihatan yang dihantar ke negara itu pada Mei lepas.
Tambah Muhyiddin, Abu Walid juga berterima kasih apabila kerajaan melalui Kementerian Kesihatan menjalin kerjasama dengan Palestin dalam mencari kaedah terbaik menangani COVID-19.
“Langkah ini telah bermula apabila Menteri Kesihatan kedua-dua negara mengadakan sidang video bagi membincangkan kerjasama tersebut baru-baru ini, “ katanya. -Oleh M. HERMAN HAMID