10 OGOS: Pemerkasaan agenda bumiputera di negara ini memerlukan pelaksanaan strategi dan inisiatif yang berani dan radikal.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, usaha itu perlu digembleng supaya lonjakan berganda mampu mengubah landskap ekonomi bumiputera.
Beliau memberitahu, penyertaan bumiputera dalam industri strategik yang berimpak tinggi dan berpotensi serta mempunyai nilai ditambah tinggi juga akan dipertingkatkan.
“Secara keseluruhannya, penekanan utama kerajaan dalam pemerkasaan bumiputera akan diterjemahkan melalui penggubalan dasar, strategi dan inisiatif yang akan digarap secara terperinci melalui penyediaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), 2021-2025 yang akan dibentangkan awal tahun depan,” katanya.
Mustapa berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menambah, kerajaan telah mewujudkan Majlis Kemakmuran Bumiputera (MKB) yang bertujuan menjadi platform tertinggi dalam usaha memperkasa pembangunan sosioekonomi bumiputera dan akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri.
“Kewujudan MKB ini adalah sebahagian daripada kerangka intervensi strategik untuk memandu dan mempercepat pemerkasaan ekonomi bumiputera melalui usaha-usaha peningkatan kapasiti dan keupayaan merentas pelbagai program, selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” jelasnya.
Di samping itu, Mustapa berkata, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), sebagai agensi penyelaras tunggal pembangunan bumiputera juga diperkukuhkan sebagai sebuah badan koordinasi di peringkat tertinggi bagi memantau pelaksanaan dasar dan strategi pembangunan sosioekonomi bumiputera serta mempertingkatkan kualiti perancangan dasar dan intervensi strategik. – Oleh HUSSAINI AMRAN