10 OGOS: Sidang Dewan Rakyat hari ini ‘gempar’ dengan pendedahan beberapa pucuk surat diminitkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya mereka membatalkan pembekuan akaun milik seorang ahli perniagaan, pada 2018.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan, ketika membuat pendedahan itu berkata kes berkenaan membabitkan seorang ahli perniagaan dikenali sebagai Tan Sri Lim Soon Ping yang terlibat dengan kes penggubahan wang haram dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebanyak RM4 juta.
Berikutan itu ahli perniagaan berkenaan meminta peguamnya menulis surat representasi bertarikh 10 Oktober 2018 kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull untuk melepaskan pembekuan semua akaun peribadi dan syarikatnya secepat mungkin.
“Apa yang berlaku Yang Berhormat surat kepada SPRM ini telah diminta untuk diminitkan oleh siapa?…. Oleh, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri ketujuh (Dr Mahathir) pada masa itu. Perdana Menteri ketujuh menyata dalam surat representasi… Yang Berhormat saya percaya dalam surat representasi Ahli Parlimen Sepang kepada pelanggannya tiada orang minit begini.
“Minit berkenaan berbunyi saya berpendapat penyelewengan oleh bekas Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) tidak boleh disalahkan kepada Tan Sri Lim… inilah minit… Oleh itu segala pembekuan akaun peribadi dan syarikatnya tidak boleh dikekalkan…sign 5 Disember 2018… Perdana Menteri Malaysia ‘cop’.
“Apa yang berlaku kepada surat ini… surat peguam kepada Tan Sri Lim Soon Ping kepada dialamatkan kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM, yang diminitkan oleh Perdana Menteri dan diminitkan sekali oleh Menteri Kewangan pada masa itu Yang Berhormat Bagan, Lim Guan Eng.
“Minit berkenaan berbunyi Yang Berhormat AG; “Please lift the freeze of account as requested by YAB Perdana Menteri bertarikh 19 Februari 2019. Ini adalah minit dibuat ke atas surat seorang peguam Tan Sri Lim Soon Ping, seorang dituduh melakukan kesalahan ini,” dedah Takiyuddin ketika berucap menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong.
Takiyuddin menambah, Peguam Negara telah membalas surat berkenaan dengan menulis surat kepada Guan Eng walaupun bukan tanggungjawabnya untuk berbuat demikian.
Beliau yang juga Ahli Parlimen PAS Kota Bharu berkata, Peguam Negara kemudian menulis surat kepada SPRM bagi meminta pembatalan segala pembekuan akaun milik Soon Ping dan syarikatnya secepat mungkin.
“Ini adalah arahan Peguam Negara kepada SPRM supaya menarik balik pembekuan milik Tan Sri Lim Soon Ping yang mengambil duit 1MDB sebanyak RM4 juta,” tegas Takiyuddin mengatakan ‘dokumen bersuara lebih lantang daripada kata-kata’ bagi membalas hujah dikemukakan oleh Ahli Parlimen PH Sepang, Mohamed Hanipa Maidin, bahawa ia hanya sekeping kertas.
Pendedahan mengejutkan oleh Takiyuddin itu menyebab ramai Ahli Parlimen PH ‘meroyan’ dan kepanasan kerana dokumen berkenaan tidak pernah didedahkan di dalam Dewan Rakyat sebelum ini. – Oleh HAIKA KHAZI