11 OGOS: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seramai 230 individu semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, daripada jumlah itu, seramai 13 orang telah direman manakala dua lagi individu dijamin dan 215 individu dikenakan kompaun.
“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk 22 aktiviti dalam pub atau kelab malam, 49 aktiviti yang tidak mengikuti prosedur operasi standard (SOP), satu premis beroperasi lebih masa, 26 orang tidak memakai pelitup muka.
“Selain itu, sebanyak 128 aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial serta dua orang melanggar perintah kuarantin dan dua individu gagal melunaskan kos kuarantin,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Berhubung Operasi Benteng, beliau memberitahu, mulai 1 Mei hingga semalam, seramai 2,931 pendatang asing tanpa izin (PATI), 625 tekong serta 167 penyeludup telah ditahan.
Ismail Sabri menambah, turut ditahan 122 bot dan 303 kenderaan yang terlibat dalam percubaan menceroboh sempadan negara.
Beliau menyatakan, PDRM turut menangkap dua warga asing atas kesalahan imigresen hasil 65 sekatan jalan raya Operasi Benteng di seluruh negara semalam.
Sementara itu, Ismail Sabri memberitahu, sejak 24 Julai sehingga 10 Ogos 2020, seramai 9,498 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua telah ditempatkan di 58 hotel dan lima institut latihan awam (ILA) di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Perlis, Labuan dan Kedah.
Beliau memaklumkan, mereka telah pulang dari 31 negara iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, Emiriah Arab Bersatu, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, United Kingdom, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, New Zealand dan Australia.
Secara keseluruhan, bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperolehi.
Pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga telah melakukan 1,731 pemeriksaan khas Pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Sebanyak 1,684 premis didapati mematuhi SOP yang ditetapkan manakala 44 premis diberi nasihat kerana tidak patuh SOP dan tiga premis pula diberi amaran kerana tidak patuh SOP. – Oleh HUSSAINI AMRAN