11 OGOS: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang lagi penguat kuasa Majlis Bandar Raya Shah Alam (MBSA) petang ini bagi membantu siasatan berhubung kes melindungi premis perniagaan tanpa lesen di Sungai Buloh.
Dengan ini, empat pegawai penguat kuasa MBSA ditahan SPRM setakat ini berhubung isu berkenaan yang bermula dengan pendedahan seorang pengusaha burger mengenai lokasi perniagaan haram di sekitar Bandar Baru Sungai Buloh.
Selain empat penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan, seorang warga asing keturunan Aceh turut ditahan SPRM hasil siasatan sejak jam 9 pagi tadi.
Tangkapan terbaru difaham melibatkan seorang pegawai berusia 30-an jam 5 petang tadi ketika hadir memberi keterangan di Ibu pejabat SPRM Putrajaya.
Penahanan terbaharu itu disahkan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya.
Katanya, kesemua empat pegawai penguat kuasa MBSB itu akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya esok untuk proses reman.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki petang tadi ‘menjangkakan’ terdapat penahan lain selain tiga yang ditahan pagi tadi berhubung siasatan isu tersebut.
Malah, beliau tidak menolak kemungkinan ia akan turut melibatkan agensi lain.