11 OGOS: Datuk Azhar Azizan Harun memfailkan permohonan untuk membatalkan saman pemula dikemukakan Tun Dr Mahathir Mohamad dan empat lagi individu yang mencabar kesahihan pelantikannya sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Datuk Seri Azalina Othman Said sebagai Timbalan Yang Dipertua.
Azhar dalam permohonan itu menegaskan perkara-perkara yang terkandung di dalam saman pemula itu termaktub kepada Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan apa jua perkara yang berkaitan dengan urusan Parlimen tidak tertakluk kepada bidang kuasa mahkamah seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Permohonan untuk membatalkan saman pemula itu dikemukakan bersama dengan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon yang dinamakan sebagai defendan ketiga dalam saman itu.
Perkara itu dimaklumkan oleh peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili bekas Perdana Menteri dan keempat-empat individu itu selaku plaintif kepada pemberita selepas pengurusan kes hari ini yang diadakan secara e-review di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Kamal Md Shahid.
Muhammad Rafique memaklumkan mahkamah menetapkan 13 Ogos untuk pengurusan kes selanjutnya.
Prosiding secara e-review itu turut dihadiri peguam Hoe Sue Lu mewakili Azhar dan Mohd Rashid manakala peguam Syazwani Mohd Zawawi bertindak bagi pihak Azalina dan Setiausaha Dewan Rakyat Nizam Mydin Bacha Mydin yang dinamakan sebagai defendan keempat.
Azhar dan Mohd Rashid selaku defendan pertama dan ketiga memfailkan permohonan untuk membatalkan saman pada 7 Ogos lepas atas alasan perkara-perkara yang terkandung di dalam saman pemula itu termaktub kepada Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan apa jua perkara yang berkaitan dengan urusan Parlimen tidak tertakluk kepada bidang kuasa mahkamah.
Menurut kedua-dua defendan itu, isu-isu yang dibangkitkan oleh kesemua plaintif termasuk dalam kategori perdebatan Parlimen dan apa jua prosiding Parlimen tidak boleh diadili atau dihakimi oleh mahkamah selaras dengan Perkara 63(1) Perlembagaan Persekutuan.
Pada 23 Julai lepas, Dr Mahathir, anaknya Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz, Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik, Ahli Parlimen Kubang Pasu Datuk Wira Amiruddin Hamzah dan Ahli Parlimen Sri Gading Datuk Dr Shahruddin Md Salleh memfailkan saman pemula terhadap Azhar, Azalina, Mohd Rashid dan Nizam Mydin yang dinamakan sebagai defendan pertama hingga keempat.
Dalam saman itu, kesemua plaintif memohon deklarasi bahawa kerusi Yang Dipertua Dewan Rakyat sejak 13 Julai lepas masih kosong dan pelantikan Azhar dan Azalina itu adalah tidak sah kerana ia tidak berperlembagaan dan/atau bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan/atau Peraturan 3,4, 6 dan 47 Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan/atau kedaulatan undang-undang.
Kesemua plaintif juga menuntut deklarasi bahawa semasa perjalanan sesuatu persidangan Dewan Rakyat, sebaik sahaja usul mengosongkan jawatan Yang Dipertua dan/atau timbalan diluluskan oleh majoriti ahli Dewan Rakyat, maka tempoh 14 hari bagi pihak setiap ahli Dewan Rakyat untuk mengemukakan calon Yang Dipertua dan timbalannya adalah bermula dari tarikh usul itu diluluskan.
Mereka juga memohon perintah seorang Yang Dipertua dan timbalannya sekiranya jawatan itu dikosongkan semasa perjalanan persidangan berlangsung, hendaklah melalui proses-proses pencalonan, perbahasan dan pengundian cukup bilangan oleh Ahli-Ahli Dewan Rakyat untuk menjadikan satu proses pelantikan yang sah.
Antara alasan yang dikemukakan dalam permohonan itu adalah tindakan defendan ketiga (Mohd Rashid) yang membuat penetapan dengan memaklumkan bahawa cuma ada satu calon bagi tujuan pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu, adalah tidak sah.
Ini adalah kerana tidak ada peluang diberi oleh defendan ketiga (Mohd Rashid) dan keempat (Nizam Mydin) kepada semua Ahli Dewan Rakyat untuk memajukan pencalonan dan/atau perbahasan dan/atau pengundian bagi mengisi kerusi Yang Dipertua Dewan Rakyat dalam masa 14 hari sebelum mana-mana mesyuarat lanjutan bagi tujuan pelantikan diadakan.
Plaintif juga mendakwa tindakan defendan keempat untuk memasyhurkan dan/atau memanggil Azhar dan Azalina mengambil tempat sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat dan timbalan adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan/atau Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan tidak sah.