11 OGOS: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima kunjungan hormat persaraan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor yang dijadual menamatkan perkhidmatan pada 14 Ogos ini.
Menerusi catatan di Facebook beliau hari ini, Muhyiddin merakamkan penghargaan di atas sumbangan bakti Mazlan sepanjang empat dekat berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) bermula tahun 1979 sebagai Inspektor.
“Bagi pihak kerajaan, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Dato’ Pahlawan Mazlan Mansor atas jasa dan khidmat bakti yang diberikan sepanjang memimpin pasukan.
“Beliau mula menyertai pasukan PDRM pada 1979 dengan pangkat inspektor dan telah melalui pelbagai pengalaman dalam kerjaya sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara ke-25 pada Mei 2019.
“Terima kasih dan selamat bersara Dato’ Pahlawan,” katanya.
Sementara itu, menerusi hantaran sama, Muhyiddin memaklumkan beliau menerima kunjungan hormat Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Datuk Zamrose Mohd Zain di pejabatnya di bangunan Parlimen.
Kata Perdana Menteri, ini adalah kunjungan rasmi pertama sejak pelantikan Zamrose sebagai Panglima Tentera Darat ke-28, berkuat kuasa pada 11 Jun lalu.
Beliau menggantikan Jeneral Tan Sri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi yang bakal bersara wajib pada November depan.
“Saya yakin dengan pengalaman yang ada, Jeneral Datuk Zamrose selaku PTD berupaya memacu cabang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu ke tahap lebih gemilang di persada negara dan antarabangsa.
“Semoga pelantikan ini akan membantu memperkukuhkan lagi kesiapsagaan pertahanan negara dalam mendepani isu keselamatan yang semakin kompleks,” jelasnya. -Oleh M. HERMAN HAMID