11 OGOS: Pengiktirafan Kementerian Pendidikan terhadap lulusan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) untuk mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) di institut pendidikan guru (IPG), adalah bagi memenuhi keperluan dalam bidang pengkhususan Bahasa Cina di sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC).
Menteri Kanan Pendidikan, Dr Mohd Radzi Jidin berkata, tindakan itu bukan perkara baharu kerana program terbabit sebenarnya sudah bermula sejak tahun 2011, malah diteruskan ketika era pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).
“Program yang disebut Yang Berhormat Simpang Renggam itu sudah bermula sejak tahun 2011 dan pada waktu Yang Berhormat menjadi Menteri (Pendidikan) juga, program terbabit terus dilaksanakan.
“Jadi, sebenarnya perkara ini memang dalam pengetahuan Yang Berhormat. Hakikatnya dasar itu berlaku, pengambilan pelajar lulusan UEC untuk tujuan kemasukan ke IPG bagi mata pelajaran Bahasa Cina untuk SJKC,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Bebas Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik sama ada kerajaan mengiktiraf secara sebahagian lulusan UEC berikutan terdapat pengambilan graduan sijil berkenaan untuk memasuki IPG.
Mengulas lanjut, Mohd Radzi berkata, kerajaan pada 2012 menerima lepasan UEC untuk mengikuti program PISMP dalam bidang bahasa Cina dengan syarat mereka lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan memperolehi sekurang-kurangnya kepujian dalam bahasa Melayu.
Menjawab soalan asal Maszlee mengenai inisiatif terkini kementerian dalam menjaga dan meningkatkan kualiti PISMP, Radzi berkata, kerajaan sentiasa komited memperkasakan pendidikan guru bagi melahirkan guru yang terlatih dan kompeten.
“Antara usaha yang dilaksanakan adalah memperkukuhkan PISMP di IPG. Ini turut membabitkan aspek pemilihan calon dan kurikulum.
“Melalui program ini, kementerian akan dapat menyediakan guru yang berkualiti untuk meningkatkan standard pendidikan, selaras dengan aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI