11 OGOS: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan wujud sikap pilih kasih dan berat sebelah dalam siasatan kes rasuah membabitkan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki, menegaskan pegawainya hanya menjalankan tugas seperti biasa, secara telus dan profesional.
“Kami tidak berat sebelah (pada) mana-mana pihak, kami jalankan tugas seperti biasa dan secara telus dan profesional,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program SPRM PUBG Mobile i-Challenge, di Ibu Pejabat SPRM, di sini, hari ini.
Ditanya mengenai dakwaan Guan Eng bahawa beliau perlu memakai baju reman SPRM, Azam mendakwa, tindakan itu bergantung kepada budi bicara pegawai penyiasat kes.
“Mana-mana pegawai penyiasat (yang) gunakan baju lokap warna oren (kepada individu) adalah bawah budi bicara pegawai penjaga lokap dan pegawai penyiasat.
“Hal ini sudah saya ulang banyak kali, dia (pakai baju reman SPRM) terpulang kepada budi bicara berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Guan Eng bahawa dirinya diminta untuk memakai baju reman SPRM berwarna jingga, berbanding bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ketika disiasat.
Pada 8 Ogos lalu, Guan Eng menerusi status Facebook, berkongsi pengalamannya ditahan dalam lokap SPRM di sini sebelum didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Guan Eng berkata, beliau perlu tidur di atas lantai papan dan menganggap dirinya tidak bernasib baik seperti Menteri Kewangan sebelumnya iaitu Najib ketika ditahan SPRM berhubung kes 1MDB dan SRC.
Beliau juga mendakwa dirinya terpaksa menukar pakaian baju jingga SPRM dan tidur di dalam bilik lokap yang sempit tanpa bantal atau tilam.
Guan Eng dalam statusnya, turut mendakwa bahawa Najib tidak perlu bermalam walaupun sehari di dalam lokap.
Malah, beliau turut mengatakan sama ada apa yang berlaku itu satu perkara pilih kasih atau sebaliknya, hanya SPRM boleh menjawab.