11 OGOS: Kerajaan tidak pernah menetapkan jumlah peruntukan perbelanjaan atau bajet tambahan untuk setiap kementerian.
Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Abdul Rahim Bakri, berkata jumlah peruntukan tambahan secara asasnya bergantung kepada ruang fiskal semasa pada tahun berkenaan.
“Ruang fiskal itu mengambil kira unjuran lebihan hasil yang kerajaan jangkakan pada tahun berkenaan, yang mana peruntukan tambahan diperakukan.
“Ia juga tidak akan menjejaskan paras defisit fiskal dan baki akaun semasa yang ditetapkan kerajaan,” katanya ketika menggulung peringkat dasar Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan (2019) 2020.
Beliau mengulas syor Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) yang mencadangkan supaya jumlah siling diperkenalkan bagi mengehadkan peruntukan perbelanjaan tambahan bertujuan mendorong displin fiskal lebih baik.
Penetapan had siling perbelanjaan tambahan itu jelasnya, dapat menggalakkan kementerian supaya lebih cekap berbelanja.
RUU Perbekalan Tambahan (2019) 2020 dibahaskan dan diluluskan di peringkat dasar hari ini dan akan dibentangkan sekali lagi untuk peringkat jawatankuasa esok.
Seramai 12 Ahli Parlimen mengambil bahagian membahaskan RUU berkenaan di peringkat dasar.
Abdul Rahim ketika menggulung bacaan kali kedua RUU itu berkata, peruntukan tambahan itu adalah peruntukan yang digunakan pada tahun lalu dan sepatutnya diluluskan, namun tidak dapat dilakukan pada tahun berkenaan dan terpaksa dibawa ke tahun ini.
“Bajet ini sesuatu yang perlu diluluskan, ia adalah bajet yang sudah dibelanja oleh kerajaan lalu dan saya sebenarnya membantu ang Berhormat Bagan (bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng) untuk meluluskan bajet ini,” katanya.
Terdahulu, Abdul Rahim ketika membentangkan RUU itu untuk bacaan kali kedua menjelaskan ia adalah bagi memohon perbekalan tambahan perkhidmatan sebanyak RM7,005,753,850.
RUU itu adalah untuk memindahkan lebihan daripada Akaun Hasil Disatukan 2019 ke Kumpulan Wang Pembangunan berjumlah RM1.072 bilion.
Selain itu, sebanyak RM778.6 juta adalah untuk menampung perbelanjaan luar jangka 2019 dan RM5.155 bilion peruntukan tambahan langsung kepada kementerian dan jabatan yang diberi kebenaran untuk berbelanja melebihi daripada peruntukan bagi membiayai perkara yang komited pada 2019.