11 OGOS: Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dan 32 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang bersamanya mendakwa Yang Dipertua Negeri Sabah menerima nasihat yang salah sebelum membuat keputusan membubar Dewan Undangan Negeri (DUN).
Mereka berharap mahkamah akan membenarkan semakan kehakiman terhadap keputusan yang dibuat oleh Juhar pada 30 Julai lalu.
Sehubungan itu, Musa berkata, laporan terbaharu Jabatan Perangkaan pada Ogos 2020 menyatakan, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah berada pada paras paling rendah iaitu 0.5 peratus pada 2019.
Menurut ADUN Sungai Sibuga itu, perkara tersebut membuktikan Parti Warisan Sabah (Warisan) pimpinan Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal gagal membangunkan negeri dan menjaga kebajikan rakyatnya.
“Kadar pengangguran berada pada paras 5.8 peratus, terburuk dalam tempoh 20 tahun, bermakna lebih 117,000 rakyat Sabah tidak mempunyai pekerjaan dan dibelenggu kebimbangan ketika menyambut kedatangan 2020.
“Ringkasnya, angka besar itu bermakna ramai rakyat Sabah kehilangan pekerjaan, tidak mempunyai pendapatan dan berdepan pelbagai kesukaran bersama keluarga untuk menyara kehidupan. Keadaan ini tidak boleh diterima sama sekali.
“Ini ditambah dengan penguncupan KDNK Sabah selama dua tahun berturut-turut iaitu 1.5 peratus pada 2018 dan 0.5 peratus pada 2019, sekali gus memberi gambaran trend berbahaya yang menanti,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Musa memberitahu, adalah amat memalukan sekali apabila Sabah menjadi negeri yang mempunyai KDNK paling rendah di seluruh Malaysia selama dua tahun berturut-turut.
Malah, beliau menambah, pencapaian Sabah adalah lebih rendah berbanding negeri termiskin di negara ini.
“Lebih lama Datuk Seri Shafie Apdal memegang tampuk kuasa, Sabah akan terus ketinggalan dari segi pembangunan ekonomi, berikutan aktiviti perniagaan dan pelaburan langsung asing yang semakin berkurangan,” jelasnya.
Musa dan penyokong-penyokongnya turut mengalu-alukan penyertaan Parti Cinta Sabah dalam senario politik tempatan di Sabah.
Beliau berkata, pelbagai parti yang ada mungkin mempunyai perbezaan pandangan tetapi kami sepakat dalam satu tujuan iaitu menyelamatkan Sabah daripada pentadbiran yang tidak cekap dan melindungi serta mempertahankan Perlembagaan Sabah.
“Kita berhak mendapat yang lebih baik. Sabah berhak menikmati suasana yang jauh lebih baik,” ujarnya.
Musa menambah, dalam menguruskan politik dan pentadbiran kerajaan, adalah penting untuk membawa masuk tenaga baharu bersama.
Menurut beliau, suntikan idea baharu itu pula mesti diimbangi dengan mereka yang sudah sedia kaya dengan pengalaman dan mempunyai rekod pencapaian membanggakan.
“Ini akan memastikan pemimpin muda berupaya belajar dan mengaut pengalaman berharga daripada golongan yang lebih awal bertapak,” katanya.
Mengimbau kembali, Musa berkata, dengan pengalaman mengemudi empat pilihan raya umum (PRU) dan menjadi Ketua Menteri Sabah selama 15 tahun, pentadbiran beliau berupaya menstabilkan dan memacu ekonomi setempat ke tahap membanggakan.
“Sebagai satu pasukan, kami melonjakkan maruah anak Sabah di mata negara, dan tidak ketinggalan ke persada antarabangsa.
“Saya akan biarkan fakta sedia ada menjadi bukti terhadap semua itu,” jelasnya.
Beliau menegaskan, matlamat mereka adalah untuk menyelamatkan Sabah sebelum terjerumus ke kancah gelap yang menjejaskan ekonomi, keselamatan dan kesejahteraan semua.
Dalam apa keadaan sekalipun, kata Musa, cara hidup rakyat Sabah mesti dipelihara serta menyelamatkan Perlembagaan Sabah dan mengekalkan keamanan, dengan matlamat mengembalikan keyakinan pelabur domestik dan antarabangsa supaya mereka mempunyai peluang untuk menyelesaikan kemelut ekonomi yang ditinggalkan oleh pentadbiran Warisan.
“Ini bukan kisah perjalanan seorang individu. Ini bukan mengenai saya. Ini adalah bagi mereka yang waras berfikir, rakyat yang bekerja keras dan menghormati undang-undang negeri indah dan permai ini. Ini semua untuk anda,” ujarnya.
Beliau juga tahu, rakyat Sabah menyokong kumpulannya kerana mereka tidak boleh membiarkan pentadbiran sedia ada meneruskan apa yang telah mereka lakukan sepanjang 22 bulan yang lalu.
Musa mendakwa, mereka meruntuhkan ekonomi, memungkiri pelbagai janji dan memusnahkan kehidupan.
“Kita bertanggungjawab ke atas diri sendiri, anak-anak kita, anak-anak mereka dalam memberi kehidupan serta masa depan yang lebih sempurna.
“Kita bertanggungjawab terhadap generasi akan datang, maka kita perlu menyatakan pendirian sekarang. Ini adalah detik penentuannya.
“Untuk berbuat demikian, saya bersama 32 ADUN lain, sedia memikul tanggungjawab besar dan berat ini, dalam usaha mengembalikan keadaan ke landasan yang benar dan mengetepikan apa juga kepentingan peribadi yang ada,” katanya.
Sehubungan itu, Musa menyeru semua pihak supaya berpadu tenaga dan bersatu hati dalam memperjuangkan matkamat sama dan berkongsi wawasan untuk membawa Sabah keluar daripada penindasan ekonomi.
“Kita perlu membawa Sabah kembali mengecapi kemakmuran dan harga diri yang selayaknya,” jelasnya. – Oleh HUSSAINI AMRAN