12 OGOS: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyindir portal pro-Pakatan Harapan (PH), Sarawak Report kerana tidak melaporkan tentang skandal yang dihadapi pemimpin-pemimpin DAP termasuk Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng.
Beliau mendakwa, portal yang dikendalikan warga Britain, Claire Rewcastle-Brown itu tidak berminat melaporkan kes rasuah yang dihadapi Guan Eng kerana nilainya terlalu kecil.
“Mereka kata 10 peratus kepentingan daripada projek terowong RM6.34 bilion, projek hartanah RM40 bilion serta konsesi tol 30 tahun milik syarikat terowong dan bayaran cash RM3.3 juta adalah terlalu kecil.
“Sebab itu, Sarawak Report tak minat tulis tentang skandal DAP,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya, hari ini.
Guan Eng sedang berdepan tiga pertuduhan rasuah yang didakwa dilakukan beliau ketika menyandang jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang.
Bagi pertuduhan pertama, bekas Menteri Kewangan itu dituduh meminta suapan bagi membantu sebuah syarikat yang dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.
Mengikut pertuduhan, Ahli Parlimen Bagan itu didakwa telah secara rasuah meminta bagi dirinya suatu suapan, iaitu balasan berharga berupa 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperolehi kelak daripada Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli.
Pertuduhan kedua pula mendakwa Guan Eng menggunakan kedudukannya untuk menerima wang suapan berjumlah RM3.3 juta bagi membantu sebuah syarikat dilantik untuk melaksanakan projek yang sama, bernilai RM6.3 bilion.
Dalam pertuduhan ketiga, beliau didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Ketua Menteri Pulau Pinang dan Pengerusi Lembaga Tawaran Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), telah menggunakan kedudukan untuk suapan, iaitu wang berjumlah RM372,009 bagi isterinya, Betty Chew Gek Cheng melalui syarikat Excel Property Management & Consultancy Sdn Bhd. – Oleh HUSSAINI AMRAN