12 OGOS: Ahli Parlimen BN Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar, mempersoalkan tindakan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang melancarkan operasi penguatkuasaan besar-besaran terhadap peniaga tanpa lesen di Sungai Buloh, berikutan pendedahan dibuat oleh ‘Asri Janggut’.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor itu berkata, beliau sendiri datang ke Bandar Baru Sungai Buloh, Selangor tengah hari tadi, untuk melihat kerja-kerja meroboh gerai peniaga kecil yang sudah berniaga antara 20 hingga 25 tahun lalu.
Beliau turut dimaklumkan sebanyak 20 lagi gerai akan dirobohkan esok, manakala 15 sudah dirobohkan semalam.
“Masalahnya kenapa tindakan meroboh ini diambil dalam keadaan peniaga baru nak bernyawa?
“Saya nak tanya adakah ia dilakukan kerana tindak balas daripada pendedahan daripada seorang individu iaitu Mohd Asri Hamid (Pengasas Hot Burger Malaysia) melalui rakaman video mengenai kewujudan kegiatan judi haram dan rokok seludup di Sungai Buloh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan (2019) 2020 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Suasana menjadi panas seketika apabila Ahli Parlimen PH Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham mempersoalkan isu perobohan gerai peniaga di Sungai Buloh yang dibangkitkan oleh Noh. – Oleh HAIKA KHAZI